Kerajaan Negeri Sembilan tandatangani Ikrar Bebas Rasuah


SEREMBAN 9 Mac – Kerajaan negeri hari ini menjadi negeri keempat menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) menandakan kesungguhan ahli pentadbiran untuk melaksanakan amanah rakyat dengan berpegang teguh kepada integriti.

Majlis ikrar itu diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama sembilan exco serta tiga ex-officio terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan; Pegawai Kewangan, Datuk Johani Hassan dan Penasihat Undang-Undang, Datuk Iskandar Ali Dewa.

Majlis tersebut yang berlangsung di Wisma Negeri di sini disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad.

Menurut Dzulkifli, selain Negeri Sembilan, Sarawak, Kedah dan Melaka telah menandatangani IBR.

Katanya, IBR adalah satu inisiatif diperkenalkan SPRM yang memberi tumpuan kepada ikrar dan janji bagi menghindarkan gejala rasuah dan salah guna kuasa sepanjang menjalankan tugas.

“Adalah menjadi harapan kami agar negeri-negeri lain mengambil langkah yang sama bagi menyatakan keseriusan mereka untuk memerangi rasuah,” katanya selepas majlis tersebut sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE

Kapsyen : MOHAMAD Hasan (tiga dari kiri) menyerahkan Ikrar Bebas Rasuah kepada Dzulkifli Ahmad (tiga dari kanan) di Seremban hari ini. – UTUSAN ONLINE

(Utusan Online)

[4757877]

Facebook Comments