Kes kegagalan fungsi buah pinggang semakin meningkat – Hilmi Yahaya


Buah pinggang manusia boleh rosak disebabkan banyak keadaan dan antara punca utama penyakit itu hari ini yang boleh dicegah adalah seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan kencing manis. – Gambar hiasan BUKIT MERTAJAM: Kes kegagalan buah pinggang disebabkan diabetes di Malaysia semakin meningkat dan jika trend tidak sihat itu tidak dihentikan, negara ini akan berada di kedudukan teratas di dunia dengan jumlah kes tertinggi menjelang 2030.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata jumlah pesakit buah pinggang dilaporkan hampir 40,000 orang di seluruh negara tahun lepas dan ia terus meningkat disebabkan gaya hidup tidak sihat.

Beliau berkata buah pinggang manusia boleh rosak disebabkan banyak keadaan dan antara punca utama penyakit itu hari ini yang boleh dicegah adalah seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan kencing manis. “Kita akan menjadi antara negara yang berada pada kedudukan teratas di dunia dengan jumlah kes kegagalan buah pinggang tertinggi pada 2030 jika trend semasa itu tidak dihentikan,” katanya,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat dialisis Province Wellesley Renal Medifund di sini bersempena sambutan awal Hari Buah Pinggang Sedunia 2017 di sini.

Beliau berkata keadaan itu akan lebih membimbangkan kerana ia sudah menjadi biasa dari semasa ke semasa dengan jumlah kes kegagalan buah pinggang terus meningkat.

Dr Hilmi berkata satu perempat daripada 40,000 pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dirawat di hospital-hospital kerajaan manakala selebihnya dengan hospital swasta dan pusat dialisis.

Beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya mengamalkan diet seimbang yang sihat dan sentiasa bersenam supaya buah pinggang sihat.

Sementara itu, Dr Hlmi yang juga anggota Parlimen Balik Pulau berkata mulai tahun ini, kerajaan memilih untuk membeli lebih banyak ubat-ubatan generik untuk mengurangkan kos.

Beliau berkata tahun lepas, kerajaan persekutuan membelanjakan RM2.2 bilion untuk membeli ubat-ubatan untuk hospital-hospital kerajaan.

“Sebelum ini, kita beli ubat asal 50 peratus dan 50 peratus ubat-ubatan generik dan mungkin mulai tahun ini, kita mungkin tingkatkan peratusan ubat-ubatan generik,” katanya. — Bernama

(Astro Awani)

[4756798]

Facebook Comments