Tiada ampun isu tohmahan diplomat


DUTA Besar Korea Utara ke Malaysia Kang Chol dikerumuni media sejurus tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), selepas diusir oleh kerajaan Malaysia.
Sabtu lalu, Kerajaan Malaysia mengisytiharkan beliau sebagai Persona Non Grata dan memberi tempoh 48 jam untuk keluar dari negara ini.
- Foto BERNAMATanggal 4 Mac 2017 yang lalu menyaksikan arahan pengusiran dikeluarkan ke atas Duta Besar Korea Utara. Beliau diberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan Malaysia.

Ramai dalam kalangan kor diplomatik mahupun orang ramai melihat pengumuman ‘persona non grata’ ke atas seorang diplomat asing sebagai satu tanda hubungan renggang di antara Malaysia dan Korea Utara sekarang ini.

Duta Korea Utara itu telah diusir kerana menghina Malaysia dan proses penyiasatan yang sedang berjalan. Kenyataan-kenyataan beliau secara lisan dan bertulis, yang telah diedarkan kepada pihak media dan orang ramai amnya, bertujuan mempertikaikan prosedur jenayah negara dan kewajaran langkah-langkah yang diambil sewaktu siasatan berlangsung.

Tohmahan yang dilemparkan oleh Duta Besar Korea Utara ini mengundang bencana. Tata urus diplomatik memerlukan pengendalian komunikasi yang berkesan dan bersopan antara dua negara.

Tetapi, dalam hal ini, Duta Besar Korea Utara telah menjahanamkan sendiri hubungan diplomatik itu sehinggakan Kerajaan Malaysia langsung tidak dapat bekerjasama dengan beliau sebagai utusan Pyongyang.

Dalam erti kata lain, kehadiran duta besar itu tidak lagi disenangi mahupun dikehendaki memandangkan beliau telah hilang kredibiliti sebagai utusan di mata Malaysia dan kepercayaan Malaysia untuk beliau melaksanakan tugas.

Keputusan untuk mengusir duta itu tidak dibuat dengan sewenang-wenangnya. Berbeza dari sumber-sumber lain, Kementerian Luar langsung tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang salah, atau tersalah langkah dalam urusan diplomasi negara. Sekiranya ini berlaku, adalah mustahil untuk Kementerian menarik balik kenyataan atau keputusan yang dibuat tanpa menatijahkan implikasi yang buruk.

Tidak pernah guna Artikel 9 Konvensyen Vienna

Ini antara sebab mengapa Wisma Putra memperhalusi perkara ini sebaik-baiknya. Kementerian bertanggungjawab ke atas hubungan luar negara, oleh itu setiap tindak-tanduk Kementerian hanya diambil selepas benar-benar akur dengan impak yang mungkin menyusul.

Malaysia sebelum ini tidak pernah menggunakan Artikel 9 Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik yang membenarkan pengusiran diplomat.

Sebelum Malaysia mengambil keputusan untuk mengumumkan duta itu sebagai persona non grata, beberapa langkah lain telah diambil.

Pertamanya, Kementerian memastikan bahawa komunikasi di antara kedua-dua negara tidak tergendala. Duta Besar Korea Utara ke Malaysia dan Duta Besar Malaysia ke Korea Utara memainkan peranan penting dalam usaha ini.

Kedua-dua duta telah dipanggil oleh Kementerian Luar negara mereka ditugaskan untuk sesi perbincangan dan perundingan.

Bagaimanapun, di Malaysia, Duta Besar Korea Utara telah memilih untuk melemparkan tohmahan dan tuduhan yang tidak berasas ke atas pentadbiran Malaysia dan rakyatnya.

Malaysia kemudian mengambil keputusan memanggil pulang dutanya di Pyongyang. Tindakan ini sahaja sudah cukup jelas untuk menggambarkan ketidaksenangan negara terhadap cara rejim Korea Utara memperlekehkan siasatan jenayah yang dilakukan oleh Malaysia. Secara tidak langsung, panggilan balik duta Malaysia dari Pyongyang juga memberikan peluang kepada Kementerian untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan beliau.

Pyongyang terus menghantar pasukan perundingnya untuk berinteraksi dengan Malaysia.

Pada masa yang sama, tohmahan Duta Besar Korea Utara ke atas Malaysia tidak boleh dilupakan, mahupun diampuni. Oleh itu, kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengusir duta itu.

Memutuskan hubungan dengan Korea Utara serta penutupan kedutaannya di Kuala Lumpur hanya akan dilakukan sebagai langkah terakhir.

Sebagai sebuah negara berprinsip, Malaysia memegang teguh kepada dasar ‘hubungan dengan semua negara yang berbaik’, seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang pertama sewaktu pembukaan Parlimen pada tahun 1957. Oleh itu, Kementerian Luar telah dipertanggungjawabkan dengan usaha mendapat kawan, dan bukannya lawan.

Hari ini Malaysia mempunyai 112 buah pejabat perwakilan di 85 negara. Malaysia juga menjadi tuan rumah kepada 117 kedutaan asing.

Hilang satu lagi rakan

Republik Demokratik Rakyat Korea atau Korea Utara, mempunyai hanya 24 kedutaan asing di Pyongyang. Perselisihannya dengan Putrajaya akan menyebabkannya kehilangan satu lagi rakan di persada antarabangsa, sekali gus merugikan negara itu.

Nilai dagangan dan pelaburan Malaysia dengan Korea Utara adalah rendah dengan perjanjian kredit dan pembayaran minyak kelapa sawit (POCPA) sebagai salah satu perkara tertunggak antara kedua-dua negara.

Beberapa minggu kebelakangan ini, Malaysia mendapati wujud aktiviti haram yang dijalankan oleh Korea Utara di Malaysia, di bawah nama syarikat tempatan mahupun sebagai usaha sama komersial. Malaysia tidak akan membiarkan negara ini diperalatkan untuk aktiviti haram sebegini.

Perkara ini dianggap serius dan mendorong Kerajaan Malaysia mengkaji semula hubungannya dengan Korea Utara.

Putusnya hubungan diplomatik bukanlah sesuatu yang diambil ringan oleh Kementerian Luar mahupun Malaysia. Banyak perkara yang perlu diambil kira, termasuk perlindungan dan promosi kepentingan negara, impak memutuskan atau menyimpan hubungan itu ke atas reputasi Malaysia di persada antarabangsa, serta kesan dari mengambil langkah terakhir itu.

Tetapi sekiranya perlu kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah terakhir dalam perceraian diplomatik ini.

Penulis adalah Menteri Luar

(BHONLINE)

[4754776]

Facebook Comments