Daya penarik bengkel



Setiap bengkel kustom pasti ada motosikal khas sebagai pameran untuk dijadikan contoh dan daya penarik pelanggan ke bengkel.

Begitulah bengkel motosikal kustom di Manjung, Perak, di mana sebuah Harley Davidson (HD) Road Glide dimiliki Mohd Nasir Abdullah, 38, diubah suai kepada konsep bagger atau gaya motosikal kustom Amerika yang mengujakan sesiapa yang melihatnya.

Mungkin ramai tertanya-tanya apakah motosikal bagger? Ia mempunyai beg khas pada setiap sisi dan ekor dengan saiz serta enjin yang besar.

Vroom kali ini membawa pembaca ke bengkel Nasir Garage, yang jentera miliknya dinaik taraf dengan pelbagai komponen khas HD daripada Arlen Ness dan Roland Sand Design (RSD) pada kos lebih RM80,000.

Jentera tahun 2011 bersesaran 1,745cc mempunyai rupa berbeza daripada asal selepas pelbagai komponen ditukar.

Boleh dikatakan 90 peratus jentera ini menggunakan komponen Arlen Ness seperti penyerap hentak hadapan, beg sisi (saddlebags), madgad, tangki dan sebagainya.

Antara paling menyerlah rim jenama itu bersaiz 26 inci. Ditambah beberapa lagi aksesori Arlen Ness seperti Floor Board dan Passenger Floor Board (pemijak kaki) menaikkan lagi imej jentera.

Kebanyakan aksesori rekaan Arlen Ness didatangkan dengan warna hitam khas Contrast Cut dan ternyata warna berkenaan menambah seri jentera kuning ini.

Selain Arlen Ness, jentera dua roda itu turut menggunakan aksesori RSD yang turut membina beberapa komponen khas untuk jentera kategori Baggers seperti HD ini.

Antara yang melekap pada jentera ini adalah perumah rantai pemasa, perumah klac, brek dan klac lever dan sebagainya. Ia tampil lebih bergaya apabila lampu hadapan jentera ditukarkan kepada jenis LED dan pemasangan pelindung angin atau digelar ‘windshield trim’ menjadikan motosikal ini semakin menarik.

Sementara itu, bar pemanduan turut menerima perubahan apabila gaya pemanduan jenis American Custom dari Samurai Sinister Industries dengan gaya melengkung digunakan.

Untuk mengawal keseimbangan jentera seberat hampir 500 kilogram (kg), suspensi asal ditukar menggunakan progresif suspensi 444.

Motosikal milik Manjung Harley Group ini sentiasa mencuri tumpuan bukan sahaja reka bentuknya, malah bunyi dihambur daripada ekzos Akrapovic 2-1 cukup bingit.

INFO

HARLEY DAVIDSON ROAD GLIDE 2011

• Enjin asal 1,745cc

• Rim 26 inci Arlen Ness

• Floor Board Arlen Ness

• Passenger Board Arlen Ness

• Penyerap hentak hadapan Arlen Ness

• Tangki Arlen Ness

• Saddlebags (beg sisi) Arlen Ness

• Madgad Arlen Ness

• Perumah timing chain RSD

• Perumah Klac RSD

• Brek lever RSD

• Klac Lever RSD

• Bar pemanduan Samurai Sinister Industries

• Windshield Trim

• Ekzos Akrapovic 2-1

• Progresif Suspensi 444

• Kos modifikasi RM80,000

• Kelab Manjung Harley Group

(myMetro)

[4739569]

Facebook Comments