Tunggang sambil melancong





Kepulauan Borneo sering menjadi tumpuan pelancong terutama untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan budaya masyarakat setempat selain sesuai untuk aktiviti menunggang kepada peminat motosikal berkuasa tinggi.

Bagi mempromosikan aktiviti itu seramai 40 penunggang motosikal berkuasa tinggi diterbangkan ke Kuching, Sarawak baru-baru ini menerusi program Borneo Solidarity Ride 2017.

Dianjurkan oleh Superbikers Association Malaysia (SAM) sebuah badan bukan kerajaan (NGO) permotoran negara yang mengambil inisiatif mempopularkan program jelajah bermotosikal dalam kalangan ahlinya.

Ekspedisi bermula di Kuching, Sarawak. Mereka menunggang lebih 3,000 kilometer (km) selama sembilan hari melalui daerah dan bandar serta pedalaman Brunei sebelum berakhir di Kota Kinabalu, Sabah.

Presidennya Datuk Abdul Halim Sulaiman berkata, program bertujuan membina hubungan lebih rapat kalangan ahli dengan kelab permotoran di Malaysia Timur serta memberi pendedahan lokasi dan tarikan pelancongan yang ada di sana.

“Selain melancong, kami mempelajari kesepakatan dan keunikan budaya berbilang kaum yang hidup harmoni walaupun berlainan agama,” katanya.

Perjalanan konvoi itu juga mendapat sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengiringi perjalanan ini sehingga tiba di Sabah bagi memastikan kelancaran dan keselamatan peserta.

Tambah menarik konvoi turut berpeluang meraikan sambutan ulangtahun ke-45 Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Sabah yang mana SAM turut dinaungi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang hadir merasmikan acara.

Bagi menyampaikan mesej keamanan, mereka turut singgah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dan disambut oleh Ketua Polis Daerah, ACP Hamzah Ahmad.

Kemuncak acara ialah peserta diraikan oleh Lembaga Pelancongan Sabah dalam satu majlis makan malam dengan persembahan kebudayaan yang turut dihadiri Pengerusinya, Datuk Joniston Bangkuai.

Abdul Halim berkata, usaha SAM memilih Pulau Borneo terutama Sabah sebagai destinasi laluan konvoi harus dipuji.

“Kami akan menyokong dan membangunkan segmen rekreasi bermotosikal ini sebagai tarikan baru aktiviti pelancongan bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Sabah,” katanya.

(myMetro)

[4739570]

Facebook Comments