Sasar empat model baru


Honda Malaysia mula mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran kenderaan segmen B apabila mula membuka tempahan untuk model baru City pada 1 Februari lalu.

Dipacu kejayaan model generasi keempat ini, City adalah peneraju segmen B apabila lebih 100,000 unit dijual sejak dilancarkan pada Mac 2014. Sama seperti model sebelumnya, City yang akan dilancarkan pada 2 Mac depan bakal tampil dengan reka bentuk ciri luaran yang serba baru.

Menawarkan ciri segmen C pada harga segmen B, City baru dipertingkatkan hadir bersama pakej terkini selain mengekalkan keselesaan dan ruang luas.

Model terbaru ini diiktiraf Kenderaan Jimat Tenaga (EEV), menawarkan penjimatan bahan api luar biasa, sekali gus menjadikannya kereta sedan yang sangat menarik.

Selain itu, ciri keselamatan seperti Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mendaki Bukit (HSA), butang menghidup enjin dengan sistem kemasukan pintar dan rim aloi dua tona ditawarkan sebagai ciri standard semua varian. Varian tertinggi dilengkapi lampu hadapan LED, sama seperti model Civic dan Accord.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi berkata, pihaknya mensasarkan peningkatan jualan lapan peratus berbanding tahun lalu.

“Ini bertujuan mengekalkan kedudukan nombor satu dalam Segmen Bukan Nasional. Sekurang-kurangnya empat model baru dilancarkan tahun ini bermula dengan BR-V dan City yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya pada majlis penghargaan media, baru-baru ini.

Menurutnya, di sebalik persekitaran pasaran sangat mencabar tahun lalu, Honda tetap optimis mencatatkan jualan memberangsangkan tahun ini.

“Walaupun angka rasmi Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) 2016 jatuh 13 peratus berbanding tahun sebelumnya, Honda berjaya melepasi sasaran ditetapkan pada akhir tahun lalu dengan jualan 91,830 unit.

“Pencapaian memberangsangkan ini diterjemahkan kepada penguasaan 15.8 peratus keseluruhan pasaran, kedua tertinggi dalam operasi automobil Honda pada peringkat global,” katanya.

Dengan jangkaan TIV 600,000 unit, Honda Malaysia menetapkan sasaran 100,000 unit tahun ini, meningkat lapan peratus berbanding tahun lalu.

Sementara itu, orang ramai berpeluang melihat City baru secara dekat sebelum pelancaran rasminya di siri jelajah di beberapa pusat beli-belah terpilih bermula 18 Februari lalu.

(myMetro)

[4702517]

Facebook Comments