Jentera suntikan M Sport


Sempena Tahun Baru Cina kali ini, BMW Group Malaysia memperkenalkan dua model M Sport baru BMW 118i dan BMW 330e bagi merancakkan pasaran automotif tempatan.

Kedua-dua model ini hadir bersama pakej M Aerodynamics, Suspensi M Sport dan rim aloi ringan M bersaiz 18 inci yang memberi penampilan sporty serta berprestasi tinggi.

Padanan gril double kidney BMW bersama kerangka krom hitam berkilat memberikan gaya lebih agresif dan disempurnakan lagi dengan jalur BMW individual berkilat serta logo M pada panel sisi.

Bukan itu saja, lampu utama serta kabus pada BMW 118i M Sport and BMW 330e M Sport didatangkan bersama butiran unit LED. Ia juga dilengkapi sistem Comfort Access sebagai ciri standard.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia Han Sang Yun berkata, BMW 1 Series kekal menjadi satu-satunya kereta dengan sistem pacuan roda belakang dalam segmennya.

“Kereta ini bukan saja sporty dan dinamik, malah berpegang teguh kepada janji kami iaitu keseronokan memandu semata-mata.

“Manakala BMW 330e pula adalah varian baru sedan sports premium diperkenalkan ketika Hari Inovasi BMW dan tampil dengan lebih prestasi bagi melengkapkan teknologi BMW-i,” katanya.

BMW 330e M Sport menerima sedikit fungsi tambahan antaranya kamera undur dan bumbung kaca elektronik. Ruang Kabin BMW 118i M Sport dan BMW 330e M Sport turut diberi nafas baru apabila padanan jalur berwarna biru pada papan pemuka menyerlahkan prestasi dan karakter jentera sporty.

Ekspresi diteruskan dengan stereng M dibalut kulit bersama butang sport dan pelbagai fungsi. Kemasan bumbung BMW berwarna hitam dan tempat duduk larasan elektronik dengan fungsi memori untuk pemandunya menjadi satu kelebihan.

Bagi menawarkan lebih keselesaan dan kemudahan, BMW 330e M Sport dilengkapi fungsi Bantuan Parkir yang membolehkan kereta memarkir sendiri. Kedua-dua kereta ini dipasang bersama Sistem Navigasi Profesional bersama paparan 3D beresolusi tinggi dan monitor bersaiz 8.8 inci.

Sebagai tambahan, varian baru ini didatangkan dengan fungsi BMW ConnectedDrive yang menawarkan pelbagai ciri mendahului pesaingnya menerusi perkhidmatan Panggilan Kecemasan Pintar (IEC).

IEC berfungsi dengan membuat panggilan secara automatik dan menghantar bantuan dengan pantas jika berlaku kemalangan atau kecemasan. Ini bagi memastikan penumpang dan pemandu kenderaan menerima bantuan secepat mungkin.

BMW 118i M Sport dan BMW 330e M Sport hadir dalam warna hitam, kelabu, biru dan putih. Model kompak 118i M Sport ditawarkan pada harga RM188,800 (tanpa insurans), manakala BMW 330e M Sport dijual pada harga RM258,800 (tanpa insurans).

(myMetro)

[4662851]

Facebook Comments