Kecil-kecil cili padi





Tangkas dan lincah, itu yang boleh digambarkan mengenai jentera dua roda terbaru, Benelli TNT 135 yang diperkenalkan di pasaran pada akhir tahun lalu bukan sahaja menawarkan sebuah motosikal mini malah memiliki pelbagai ciri-ciri terkini.

Sesuai untuk penunggang baru atau muda, ia memberikan kawalan menyeronokkan dan pada masa sama responsif di jalanan cukup sesuai sebagai kegunaan harian.

Pertama kali menguji TNT 135, penulis perlu menyesuaikan diri dengan posisi dan gaya menunggang serta kawalan klac berikutan rodanya bersaiz 12 inci untuk motosikal berteknologi dari Itali ini.

Reka bentuk sentuhan gaya sebuah motosikal ‘naked’ dipadankan dengan kedudukan pelana setinggi 780mm dan keseluruhan 1,025mm sesuai untuk mereka yang mempunyai ketinggian sekitar 170-175 sentimeter.

Dikuasakan dengan enjin silinder tunggal 135cc SOHC sejukan cecair pula memberikan kuasa kuda sehingga 13hp pada 9,000rpm serta tenaga kilas 10.8Nm pada 7,000rpm dengan lima transmisi kelajuan antara ciri melebihi pesaingnya dalam segmen sama.

Enjin kecil empat lejang ini juga pantas di bandar dan mudah dikawal, manakala suspensi tunggal belakang dengan lengan hayun dan spring pra-beban boleh dilaras untuk disesuaikan saiz roda. Ia direka untuk tunggangan yang selesa dengan prestasi di selekoh cukup mantap.

Ciri lain motosikal ini adalah fork terbalik 41mm, kerangka sisi besi teguh yang ringan, roda aloi, brek cakera hadapan 220mm dua omboh angkup serta brek cakera belakang 190mm dengan omboh angkup tunggal memberikan cengkaman baik untuk memberhentikan motosikal pada sebarang kelajuan.

Berat kering hanya 121kg dilihat antara yang tinggi di antara pesaingnya, namun kapasiti tangki bahan api 7.2 liter adalah yang terbesar bagi memberi lebih kilometer untuk satu isian penuh.

Ia turut mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sekali gus menawarkan tunggangan yang tangkas serta penggunaan bahan api yang efisien.

Sistem ekzos dengan pemangkin ubah dan pengesan oksigen (catalytic converter and oxygen sensor) memberikan bunyi yang lebih ‘ganas’ malah enjinnya turut menerima pensijilan Euro 4.

Motosikal ini juga dilengkapi penghidup elektrik, lampu hadapan dan belakang LED menjadikannya lebih jelas sama ada siang atau malam serta lampu kecemasan memberikan TNT 135 ciri sebuah motosikal berkuasa tinggi.

Secara keseluruhan, rekaan motosikal ini tampil menarik dengan ciri-ciri terkini ditawarkan untuk sebuah motosikal yang dikuasakan enjin 135cc terutama untuk penggunaan dalam bandar.

Kerangka besi tiub ringan yang teguh elemen signature model jenama Benelli sebagai ciri standard bagi kelihatan lebih bergaya.

Ketika pendikitnya dipulas pada gear lima iaitu gear tertingginya, motosikal ini mampu mencatatkan kelajuan maksimum sekitar 110km/j apabila diuji di lebuh raya dan tindak balas gearnya cukup responsif ketika mencelah di dalam bandar.

Panel meter digital memaparkan kelajuan dan rpm serta maklumat tahap bahan api serta paparan waktu memudahkan penunggang melihat dengan jelas.

Dijual pada harga asas RM7,990 dengan dua pilihan warna iaitu putih dan merah serta jaminan setahun atau 10,000km pertama serta tambahan 3,000km kepada yang mendaftar secara dalam talian.

Benelli kini diedarkan oleh Mforce Bike Holdings Sdn Bhd (Mforce Bike) yang dilantik untuk memasang, mengedar dan membekalkan perkhidmatan selepas jualan termasuk alat ganti bagi produk Benelli di negara ini bermula 1 Februari 2017. Sebelum ini, motosikal itu dipasarkan oleh Benelli Keeway Motorcycles Sdn Bhd dari tahun 2012.

(myMetro)

[4662852]

Facebook Comments