BHPetrol sedia kemudahan EV dan PHEV


Sebagai memberi nilai tambah kepada pengguna, stesen BHPetrol kini menyediakan kemudahan tapak pengecas kenderaan elektrik (EV) dan plug-in Hybrid (PHEV) di stesen BHPetrol Kampung Sungai Kayu Ara di Petaling Jaya.

Peralatan ini juga terdapat di stesen Sungai Besi yang dilengkapi pengecas jenis ‘Type 2, 3-phase 22kW’ dan pengguna hanya perlu membawa kabel sendiri serta ia boleh dilakukan secara percuma.

Pengarah Urusan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) Tan Kim Thiam berkata, kemudahan yang disediakan ini sebagai persediaan untuk keperluan pengguna pada masa akan datang serta menarik lebih ramai pemilik kenderaan jenis itu singgah di stesen mereka.

“Selain untuk tujuan mengecas atau mengisi bahan api, mereka juga boleh berbelanja di BHPetromart serta menggunakan kemudahan yang terdapat di setiap lokasi stesen kami,” katanya.

Beberapa lokasi tapak pengecas akan dibuka pada tahun ini iaitu Lebuhraya Utara Selatan di Hentian Pagoh, Sungai Dua dan Tapah serta di Karak untuk keperluan perjalanan terutama bagi pemanduan jarak jauh.

Projek ini hasil kerjasama dengan First Energy Networks Sdn Bhd sebagai penyedia kemudahan dan sistem bagi kenderaan ‘zero emission’ di Malaysia seperti Nissan Leaf, Renault Zoe dan Twizy, Volvo XC 90 dan BMW i8.

“Ia akan diperluaskan di stesen BHPetrol lain mengikut keperluan dan permintaan pengguna manakala pada tahun ini, kami menyediakan peruntukan RM250,000 bagi tujuan itu,” katanya.

Buat masa ini terdapat 360 stesen BHPetrol di Semenanjung Malaysia dan setiap tahun syarikat menambah 10 hingga 15 buah stesen untuk perkembangan perniagaan dan jenama.

(myMetro)

[4662848]

Facebook Comments