Dr Raj aktif bantu kerajaan banteras isu pemerdagangan manusia



PRESIDEN Majlis Aids Malaysia (MAM), Datuk Dr Raj Karim. – Foto Khairunisah Lokman KUALA LUMPUR: Perjuangan Presiden Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia (MKKM), Datuk Dr Raj Karim membendung isu pemerdagangan manusia tidak pernah padam, sebalik ia terus agenda menjadi utama dengan merancang lebih banyak program berkaitannya.

Bagi Dr Raj isu pemerdagangan manusia sewajarnya dibanteras secara serius kerana ia boleh mengancam kesejahteraan negara.

Justeru, beliau bergerak aktif mengadakan kempen kesedaran dan seminar termasuk yang terbaharu membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pemerdagangan Manusia’, di Persidangan Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW) bagi kawasan Asia Tenggara dan Timur Jauh ke-11, tahun lalu.

Katanya, seminar itu bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak khususnya pemimpin masyarakat untuk menyediakan strategi konkrit menangani isu pemerdagangan manusia dan menggesa memperkasakan tindakan undang-undang sedia ada.

“Pelbagai usaha dijalankan untuk mengurangkan masalah pemerdagangan manusia di negara ini dan negara jiran. Kita perlu buat semua ini untuk melindungi mangsa dan ahli keluarga daripada dieksploitasi.

“Antaranya usaha wajar dilakukan ialah meningkatkan penguatkuasaan dan kawalan dengan negara jiran di kawasan sempadan dan berkongsi maklumat berkaitan,” katanya kepada BH.

Teliti masalah

Dr Raj berkata, peranannya sebagai bekas ahli Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) sejak 2004 hingga 2012 ialah membantu menyediakan maklumat dan menganalisa isu berkaitan hak asasi manusia, wanita dan kanak-kanak.

Katanya, pembabitan dalam pelbagai persidangan termasuk Konvensyen Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen terhadap Hak-Hak Kanak-Kanak (CRC) memudahkannya meneliti jurang dan masalah utama membelenggu kumpulan sasaran itu secara mendalam.

“Pada 2003, masalah pemerdagangan manusia bukan masalah utama diperkatakan di negara ini dan tidak menganggap ia sebagai masalah negara kerana Malaysia hanya dijadikan sebagai pusat transit pekerja.

“Namun, selepas 2009 apabila isu penyeludupan dan pemerdagangan manusia kian ketara, pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa mula menunjukkan komitmen tinggi untuk membanteras jenayah ini,” katanya.

TIMBALAN Menteri Kesihatan, Datuk Seri Hilmi Yahaya (kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM7,000,000 kepada Presiden Majlis Aids Malaysia (MAM), Datuk Dr Raj Karim (kiri) sambil diperhatikan oleh Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit (Penyakit Berjangkit) dan Ketua Sektor (HIV / STI) Kementerian Kesihatan, Dr Sha’ari Ngadiman (tengah) selepas mesyuarat ‘Country Coordinating Mechanism’ (CCM) di Pejabat Kesihatan Alor Gajah. – Foto Khairunisah Lokman Kumpul maklumat

Bermula dari situ Dr Raj aktif mengumpul maklumat dan mendedahkannya menerusi pembentangan kertas kerja dalam seminar bagi menggesa kerajaan melihat isu ini sebagai satu masalah negara.

Hasilnya pihak berkuasa menyediakan draf undang-undang isu berkaitan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut menubuhkan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) dan mempunyai Pelan Tindakan Kebangsaan bagi menangani isu berkaitan.

Malaysia juga mempunyai perundangan sedia ada dalam menangani isu pemerdagangan orang termasuk perhambaan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Selepas itu, saya mendapat geran daripada KDN untuk menjalankan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat selama lima tahun, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti persisiran pantai dan sempadan Thailand.

“Kami masuk ke kawasan pedalaman untuk menyampai pendidikan maklumat dan pencegahan bersama agensi kerajaan serta program bina keupayaan bersama badan bukan kerajaan (NGO) lain ,” katanya.

Fokus isu

Dr Raj berkata, beliau bersama NGO memberi fokus isu pemerdagangan manusia yang dibahagikan dalam beberapa kategori termasuk buruh paksaan, seks dan penjualan bayi untuk pelbagai sebab.

“Pada 2013, seminar di peringkat Asia Pasifik diadakan membabitkan negara jiran termasuk Filipina, Indonesia, Nepal, Kemboja dan Thailand untuk bertukar pengalaman serta maklumat berkaitan isu pemerdagangan manusia.

“Perjuangan saya tidak terhenti di sini. Saya giat mencari peruntukan untuk meneruskan program terbabit bagi memastikan isu pemerdangan wanita dan kanak-kanak dilakukan dengan lebih agresif,” katanya.

MKKM juga bergabung dengan 31 NGO lain untuk membantu kerajaan menangani isu kebajikan, kesihatan dan keselamatan kanak-kanak dan pemerdagangan manusia.

“Semua lapisan masyarakat perlu didedahkan mengenai isu ini melalui iklan di media massa, perbincangan dan forum. Ini penting supaya masyarakat tahu cara untuk membantu wanita dan kanak-kanak daripada mangsa pemerdagangan manusia,” katanya.

INFO:

Datuk Dr Raj Karim

* Memperjuangkan kesaksamaan gender dan memperkasakan wanita.

* Banyak mengetengahkan program dan polisi kesihatan dan kesejahteraan wanita, kanak-kanak dan keluarga.

* Bekas Pengarah Persekutuan Keibubapaan Antarabangsa (IPPF) bagi Wilayah Timur dan Asia Tenggara.

* Bekas Presiden Majlis AIDS Malaysia (2012 – April 2016).

* Bekas Pesuruhjaya kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

(BHONLINE)

[4658460]

Facebook Comments