8 ditahan eksploitasi budak Rohingya


Kuala Lumpur: 16 individu termasuk penjaga dan lapan kanak-kanak Rohingya ditahan Pasukan Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG) selepas didapati menjalankan kegiatan mengemis di sekitar ibu kota, di sini, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah STAGG, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, mereka ditahan menerusi Op Pengemis dilaksanakan hasil risikan selama dua minggu berhubung kegiatan mengemis dilakukan kumpulan individu warga asing itu.

Katanya, menerusi operasi bermula jam 3 hingga 6 petang itu, pihaknya berjaya menahan lapan individu termasuk enam wanita berusia 50 hingga 60 tahun disyaki penjaga.

“Kami juga menahan lapan kanak-kanak termasuk lima perempuan yang dieksploitasi bagi menjual surah Yasin kepada orang ramai di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid India dan Jalan Bukit Bintang, di sini.

“Kesemua yang ditahan adalah etnik Rohingya yang memegang Kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM802 dan 95 naskah buku surah Yasin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, sebentar tadi.

Menurutnya, kesemua kanak-kanak terbabit akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Manakala penjaga terbabit ditahan bagi siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana eksploitasi kanak-kanak bagi mengemis,” katanya.

(myMetro)

[4658037]

Facebook Comments