Ahli Pas sokong 
tindakan Hadi

PULAU PINANG 17 Feb. – Ahli akar umbi Pas di negeri ini berikrar akan menyokong Presi­den mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bertegas tidak mahu menjalinkan kerjasama dengan DAP.

Wakil kumpulan itu, Jaafar Osman berkata, keputusan Abdul Hadi untuk tidak beker­ja­sama dengan parti-parti po­litik lain yang ada kai­tan dengan DAP wajar dihormati dan tidak perlu dipersoalkan.

Dalam hal ini katanya, Pas akan melakukan segala usaha untuk memastikan Rang Undang-undang 355 (RUU355) dapat diperkukuhkan untuk manfaat umat Islam secara keseluruhan.

“Kami tidak akan membiar­kan beliau keseorangan berca­kap soal mengukuhkan un­dang-undang untuk umat Islam,” katanya.

Terdahulu, lebih 30 ahli akar umbi Pas sekitar nege­ri ini berdemonstrasi selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Lebuh Acheh di sini hari ini.

Perhimpunan secara aman itu berlangsung kira-kira 10 minit sambil dikawal lebih 10 anggota polis. Kumpulan itu membawa pelbagai sepanduk mengecam Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng dan para pemimpin utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Jaafar yang juga ahli Pas kawasan Balik Pulau berkata, undang-undang berkaitan umat Islam di negara ini perlu diperkukuhkan dan orang bukan Islam mempunyai hak sama ada mahu mengikutinya atau tidak.

“Dalam isu rumah judi contohnya, adakah umat Islam tidak boleh melakukan sesuatu dari sudut undang-undang Islam bagi melarang mereka berkunjung ke premis berke­naan?” katanya.

Seorang lagi ahli Pas, Mohd. Tarmizi Abdul Hadi pula berkata, pemimpin tertinggi DAP dan PPBM perlu mencermin diri sebelum mengkritik kepemimpinan Pas.

“Guan Eng sendiri dituduh di mahkamah berkaitan kes rasuah. Saya ingin bertanya, adakah selama 22 tahun Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, beliau tidak dibayangi sebarang isu?” katanya.

(Utusan Online)

[4657837]

Facebook Comments