Mahfuz mungkin 
dipecat?

MARANG 17 Feb. – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bakal berdepan tindakan disiplin termasuk dipecat daripada Pas berikut­an kritikan keras yang dilontarkannya terhadap dasar parti itu kebelakangan ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau menyerahkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk menentukan bentuk tindakan yang bakal dikenakan terhadap Mahfuz.

“Terpulang kepada jawatankuasa berkenaan sama ada Mahfuz perlu diberi amaran, nasihat, digantung keahli­an atau dipecat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat dan menyempurnakan pelepasan Konvoi Himpunan Rang Undang-Undang (RUU) 355 di pekarangan Masjid Rusila di sini hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang diminta mengulas tentang desakan para pemimpin Pas terma­suk Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang mencabar Mahfuz keluar parti kerana sikapnya yang berterusan menentang dasar perjuangan Pas.

Abdul Hadi menambah, Mahfuz boleh meninggalkan Pas sekiranya bekas Naib Presiden Pas itu enggan menyokong dasar parti.

“Kalau orang Pas, kena ikut cara Pas lah. Tetapi kalau dia tak mahu ikut cara Pas, dia kena keluarlah dan itu lebih baik. Saya sokong kenyataan Datuk Amar.

“Samalah juga pemimpin Pas lain yang tidak sokong perjuangan parti, tak boleh bersama Pas. Kita ada terima laporan dari kawasan masing-masing,” jelasnya.

Abdul Hadi turut menasihatkan Mahfuz supaya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena sekira­nya beliau mempunyai maruah dan harga diri.

“Kalau dia ada maruah dan harga diri, kena keluar Pas bukan saja letak jawatan daripada parti termasuk juga wakil rakyat kerana rakyat yang pilih dia. Pas bukan atas nama batang tubuh dia. Jadi wakil rakyat juga kena letak jawatan kalau ada maruahlah,” ujar­nya.

(Utusan Online)

[4657838]

Facebook Comments