Ahli Perkasa bebas sertai Himpunan RUU 355


KOTA BHARU 17 Feb. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memberi kebebasan kepada seluruh ahlinya untuk menyertai Himpunan Rang Undang-Undang (RUU) 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur, esok.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya memberi sokongan penuh terhadap apa jua usaha yang bertujuan memartabatkan Islam.

“Kalau usaha ini (RUU 355) bo­leh membantu memperkasakan Islam, kita akan beri so­kongan. Kita berpendirian bahawa ahli Perkasa bebas hadir ke himpunan tersebut atas nama Islam,” kata­nya kepada pemberita selepas majlis sidang meja bulat NGO-NGO Kelantan di sini hari ini.

Kira-kira 28 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh ne­geri ini hadir dalam sidang yang membincangkan mengenai isu politik, masa depan ekonomi dan kemajuan rakyat Kelantan.

Serentak dengan itu, NGO-NGO tersebut juga sebulat suara bersetuju menubuhkan Majlis Pimpinan Gabungan NGO-NGO Kelantan yang bakal menjadi pengerak kepada masyarakat dalam menghadapi Pi­lihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mengulas mengenai Majlis Pimpinan tersebut, Ibrahim berkata, majlis tersebut diwujudkan bagi membantu pengundi membuat pilihan tepat dalam memilih parti yang bakal memerintah Kelantan pada pilihan raya nanti.

Katanya, mereka berpendapat, parti yang memerintah Kelantan pada masa ini masih gagal membawa sebarang perubahan di negeri ini.

“Kita lihat Kelantan masih ditakuk lama meskipun negeri ini kaya dengan pelbagai hasil bumi dan keindahan budayanya. Namun sampai sekarang, Kelantan masih bergantung kepada hasil kayu balak selain terus menzalimi Orang Asli. Sudah tiba masannya, kita mengambil peranan membantu pengundi membuat pi­lihan agar tidak lagi tertipu dengan pelbagai janji ketika pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, majlis tersebut juga sedia mempertimbangkan hasrat untuk menyediakan calon bebas bersatu sebagai alternatif kepada pengundi pada PRU-14.

“Calon yang bakal diketengahkan itu terdiri daripada rakyat Kelantan termasuk Orang Asli yang bersedia menjadi calon bebas,” katanya.

(Utusan Online)

[4657850]

Facebook Comments