Keputusan diketahui malam ini


LUNDU 17 Feb. – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu dijangka akan diumumkan selewat-lewatnya pukul 8 malam esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pi­lihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah berkata, secara keseluruhan, sebanyak 9,771 pengundi layak mengundi di 16 pusat mengundi yang dibuka seawal pukul 8 pagi.

Katanya, empat pusat me­ngundi masing-masing di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Melano, SK Chung Hua Selarat, SK Stoh dan Balai Raya Kampung Rambungan akan ditutup awal iaitu pada pukul 12 tengah hari.

“Selain itu, tiga pusat me­ngundi di SK Kampung Stunggang; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua dan SK Bumiputera akan ditutup pada pukul 5 petang, manakala sembilan lagi ditutup pada pukul 1 petang dan 4 petang.

“Bagi keputusan PRK DUN Tanjong Datu, insya-Allah dapat diumumkan pada pukul 8 malam,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pro­ses semakan isi peti undi PRK DUN Tanjong Datu di Dewan Masyarakat Lundu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Hashim menasihatkan para pengundi supaya keluar awal bagi mengelakkan terperangkap dalam hujan yang diramalkan pada sebelah pagi.

Beliau menambah, SPR juga berharap semua pengundi termasuk yang bekerja di luar kawasan DUN Tanjong Datu dapat menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi.

Mohd. Hashim turut mengingatkan majikan supaya memberi pelepasan kepada pekerja yang layak mengundi.

Katanya, majikan yang meng­halang pekerja mengundi boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara setahun jika disabitkan kesalahan.

“Mengundi merupakan kaedah negara untuk menterjemah dan menegakkan sistem demokrasi. Justeru, jangan ada pihak cuba menghalang pengundi keluar menunaikan tanggungjawab itu,” katanya.

(Utusan Online)

[4657845]

Facebook Comments