Sila datang jika sayang, hormat mahkamah syariah – Ahmad

KOTA BHARU 17 Feb. – Himpunan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) di Padang Merbok, Kuala Lumpur esok tidak sama sekali bertujuan berarak hingga boleh mencetuskan kekacauan.

AHMAD YAKOB Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob (gambar) sebaliknya berkata, himpunan tersebut mahu menyatakan so­kongan kepada usa­ha memartabatkan mahkamah syariah yang mana semua pihak perlu menghormati kedudukannya.

Sehubungan itu, jelasnya, Pas mengalu-alukan kehadiran se­siapa sahaja tanpa membezakan parti politik dan warna kulit ke perhimpunan tersebut.

“Kita tidak ada masalah sama ada UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk duduk di atas satu pentas bagi memberi sokongan kepada undang-undang jenayah mahkamah syariah. Kita bukan berarak tetapi akan duduk berhimpun dan mendengar nasihat pimpinan.

“Silalah datang ke perhimpunan ini jika kita sayang dan hormat kepada mahkamah syariah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Kutipan Derma Akaun Amanah Kebajikan Darulnaim (Tabung Serambi Mekah) 2017 di sini, hari ini.

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan memberitahu, berdasarkan perkembangan terkini, sasaran 300,000 peserta him­punan tidak mustahil dicapai.

(Utusan Online)

[4657844]

Facebook Comments