500 petugas H355 halang provokasi


Ceramah Pra Himpunan 355 yang diadakan di Dataran KUIZM, Taman Melewar, Gombak. – Foto NSTP/Khairull Azry Bidin GOMBAK: Seramai 500 petugas akan menghalang mana-mana pihak yang cuba melakukan provokasi sepanjang Himpunan 355 (H355) berlangsung hari ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sekiranya berlaku provokasi, pihak petugas akan merekod dan serahkan kepada polis.

Beliau yang juga Pengerusi H355 berkata, himpunan yang diadakan bermula jam 2 petang itu bukannya demonstrasi, sebaliknya hanya mahu mendapatkan sokongan rakyat bagi merealisasikan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

“Himpunan yang diadakan itu bukan mahu menentang mana-mana pihak, namun hanya sekadar mendapatkan sokongan untuk meluluskan perkara (RUU355) yang menjadi tanggungjawab seorang Islam untuk memenuhi perintah Allah.

“(RU355) ini langsung tidak bermotifkan politik kerana hukum Allah melepasi politik. Kita ambil tindakan (H355) sebagai tanggungjawab.

“Justeru, saya harap tiada sebarang provokasi akan berlaku kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya ketika berucap pada Ceramah Pra Himpunan 355, di Dataran Kolej Islam Universiti Zulkifli Muhammad (KUIZM) dekat Taman Melewar, di sini, hari ini.

Lebih 200 umat Islam menghadiri ceramah berkenaan yang turut disampaikan Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi; Pengerusi Sekretariat Ummat Menyokong Memperkasakan Akta 355 (UMMAT), Aminuddin Yahya serta Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr Yusri Mohamad, bermula jam 10 malam tadi.

RUU 355 dibentangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 24 November tahun lalu dan akan dibaca buat kali kedua dalam persidangan pada Mac ini.

Ditanya pemberita selepas ceramah berakhir mengenai sama ada PAS melakukan kerjasama dengan PKR disebabkan mempunyai kuasa dalam kerajaan Selangor, Tuan Ibrahim berkata, tanggungjawab yang dijalankan PAS kerana mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Mandat yang dikeluarkan oleh rakyat dan kita kekalkan mandat berkenaan sehingga tamat tempoh. Kalau kita keluar (daripada jawatan) bermakna kita mengkhianati rakyat.

“Tidak timbul soal (kuasa) itu kerana kita masih dalam kerajaan dan rakyat Selangor tiada masalah atas pentadbiran kita yang sangat baik,” katanya.

(BHONLINE)

[4657745]

Facebook Comments