Kerajaan PKR Selangor 
dicabar dedah penerima SMUE

SHAH ALAM 17 Feb. – Kerajaan PKR Selangor dicabar mendedahkan senarai penerima Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang didakwa telah disalahgunakan oleh beberapa pemimpin PKR dan DAP.

Pengerusi Rejim Ubah Se­langor, Jefrizal Jaafar berkata, SMUE melibatkan peruntukan besar iaitu hampir RM200 juta pada tahun lalu dan pendedahan oleh Pengerusi NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos telah mencetuskan kebimba­ngan dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, apa yang me­nimbulkan kemusykilan ialah kerajaan PKR Selangor selama ini hanya mendedahkan tentang jumlah yang disalurkan kepada setiap daerah tetapi tidak pernah mendedahkan senarai penerima skim itu.

“Kita orang awam nak tahu betul atau tidak peruntukan besar untuk SMUE yang menggunakan wang rakyat itu sampai kepada penerimanya.

“Kita tidak mahu dana itu digunakan oleh orang politik demi kepentingan sendiri atau parti politik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Maj­lis Syu­ra Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) Malaysia, Norman Toha mahu Suruhanjaya Pence­gahan Ra­suah Malaysia (SPRM) menyiasat segera dakwaan penyelewengan tersebut.

Katanya, peruntukan SMUE adalah daripada wang rakyat dan ia melibatkan satu jumlah yang besar, tetapi rakyat tidak jelas dengan cara pengagihannya.

“Perkara sama pernah berlaku beberapa tahun lalu di kawasan Parlimen Kapar sehingga menyebabkan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu yang dilantik oleh kerajaan negeri ditukar.

“Saya juga ada terima aduan beberapa penerima SMUE hanya menerima RM1,000 daripada RM2,500 jumlah yang sepatutnya diterima.

“Sebab itu siasatan segera perlu dijalankan dan dokumen yang didakwa menjadi bukti penyelewengan itu juga telah dise­rahkan kepada SPRM,” jelasnya.

(Utusan Online)

[4657724]

Facebook Comments