JMM gesa Hian Wah jawab isu judi

SHAH ALAM 17 Feb. – Kerajaan PKR Selangor perlu menjawab segala persoalan yang ditimbulkan orang ramai berhubung isu premis judi di negeri itu.

FAIZAN MOHD. NOR Pengarah Kebangsaan Jaringan Me­layu Malaysia (JMM), Faizan Mohd. Nor berkata, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Ha­ram dan Pembangunan Kampung Baharu negeri, Ean Yong Hian Wah masih berdiam diri walaupun pihaknya telah berulang kali membangkitkan isu ber­kenaan.

Katanya, Hian Wah sepatutnya mengambil tindakan proaktif bagi membanteras isu premis judi agar kegiatan itu tidak berleluasa.

“Isu judi ialah masalah nasio­nal yang semakin membimbangkan ekoran tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di Selangor tetapi Hian Wah terus mendiamkan diri.

“Hari ini pun ketika kami menghantar memorandum berkaitan isu judi kepada Hian Wah, kami tidak dapat sambutan yang baik dan hanya wakil beliau sahaja yang diarahkan untuk mengambil memorandum kami,” kata­nya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum isu kebanjiran judi di Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Faizan memberitahu, memorandum itu menggesa Hian Wah mendedahkan jumlah premis judi di Se­langor dan mendedahkan maklumat tentang kelulusan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Beliau memberitahu, selain memorandum berkenaan, JMM turut menyerahkan surat jemputan untuk menghadiri program dialog Nothing to Hide yang dijadualkan pada 28 Februari ini kepada wakil Hian Wah.

“Jika Hian Wah seorang pe­mimpin yang berani dan bertanggungjawab, saya harap beliau dapat hadir ke sesi dialog yang melibatkan 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini,” jelasnya.

Faizan menambah, JMM ­me­nerima aduan daripada orang rami tentang masalah berkaitan kebanjiran premis judi setiap hari.

“Rakyat berasa amat gelisah dan tidak selamat kerana bimbang ahli keluarga mereka terjerumus dalam kancah maksiat yang menjadi permulaan kepada kehancuran masyarakat,” ujar­nya.

(Utusan Online)

[4657721]

Facebook Comments