Remaja wanita maut kemalangan


SHAH ALAM 17 Feb. – Seorang penuntut wanita German-Malaysian Institute (GMI) maut selepas kenderaan yang dinaikinya terlibat kemalangan dengan sebuah lagi kenderaan lain di persimpangan masuk ke Jalan Haji Madon di Batu 7, Jalan Kebun di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, mangsa Aida Nazdimina Asmani, 20, yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, ketika kejadian mangsa menaiki kereta jenis Proton Iswara bersama seorang rakan lelaki kolejnya yang memandu kereta terbabit.

“Ketika tiba dilokasi kejadian, kereta mangsa yang datang dari arah Banting ke Shah Alam telah membelok ke kanan untuk masuk ke Jalan Haji Madon.

“Kereta mangsa bagaimanapun telah dilanggar oleh sebuah kereta jenis Ford Focus yang datang dari arah Shah Alam ke Banting.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa maut di tempat kejadian manakala rakannya cedera di kepala dan dada.

Shafien memberitahu, pemandu kereta Ford Focus itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa yang maut telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat dan waris mangsa telah dihubungi.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

(Utusan Online)

[4657686]

Facebook Comments