N. Sembilan terus ungguli Liga Perdana


SEREMBAN 17 Feb. – Negeri Sembilan mengekalkan momentum kemenangan apabila menumpaskan pesaing di tempat kedua Liga Perdana, Terengganu 3-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dekat sini sebentar tadi.

Gol pertama Negeri Sembilan disumbangkan oleh pemain import kelahiran Brazil, Bruno Suzuki pada minit ke-23 yang menanduk masuk hantaran lintang Mohd. Faizal Abu Bakar.

Belum sempat Terengganu menarik nafas lega, pasukan tuan rumah sekali lagi mengejutkan mereka empat minit selepas itu dengan tandukan oleh Simic Marco hasil sepakan bebas Lee Andrew Tuck.

Terengganu yang cuba memintas Negeri Sembilan di kedudukan teratas liga merapatkan jurang pada minit ke-53 melalui jaringan ketua pasukan, Abdul Latiff Suhaimi dalam cubaan pemain pertahanan tuan rumah mengeluarkan bola dari kawasan gol.

Namun, skuad bimbingan Asri Ninggal mengukuhkan kedudukan dengan jaringan ketiga melalui pemain gantian, Muhammad Izuan Mohd. Salahuddin yang berjaya memperdayakan pemain pertahanan Terengganu sebelum melepaskan sepakan pada minit ke-74.

Bangkit dari ketinggalan, anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim menggandakan asakan dan berjaya mendapatkan gol kedua pada minit ke-80 melalui pemain import, Issey Nakajima. – UTUSAN ONLINE

(Utusan Online)

[4657398]

Facebook Comments