Bekalan ikan dijangka pulih awal April

KUALA LUMPUR: Bekalan ikan yang terjejas berikutan musim tengkujuh, khususnya di negeri pantai timur seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang dijangka pulih seperti biasa awal April ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata fenomena yang berpunca daripada peredaran Monsun Timur Laut dan melanda saban tahun itu hanya sementara.

“Pada musim tengkujuh, pola pendaratan ikan di seluruh negara adalah rendah, namun permintaan bagi beberapa spesies ikan adalah tinggi.

“Buat masa ini, keadaan laut di bahagian utara adalah berbahaya bagi bot kecil untuk ke laut, malah tinjauan mengenai kadar tangkapan ikan di Kompleks Kuala Perlis dan Kuala Kedah turut berkurangan.

“Pola pendaratan ikan, terutama ikan kembung adalah paling rendah pada Januari hingga Mac, namun ia akan meningkat mulai April setiap tahun.” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Irmohizam berkata LKIM dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) menyalurkan bantuan dengan mengedarkan stok simpanan ikan segar sejuk beku, Q’Fish sebagai alternatif kepada pengguna.

Beliau berkata, LKIM bersama Persatuan Nelayan Negeri Kedah (NEKAD) dan Exco Pertanian Kedah turut melancarkan Program Jualan Ikan Rakyat untuk manfaat penduduk di beberapa lokasi di Kedah.

“Sambutan setakat ini amat menggalakkan kerana ikan, sotong, udang dan ikan sejuk beku Q’Fish dijual pada kadar 40 hingga 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran,” katanya.

(BHONLINE)

[4657049]

Facebook Comments