Thailand sasar jadi hab kewangan ASEAN

BANGKOK: Thailand menyasarkan untuk menjadi hab kewangan ASEAN menerusi inovasi pemacu negara dan model ekonomi berasaskan nilai dengan memperkenalkan dasar ‘Opportunity Thailand’ atau Thailand 4.0.

Perdana Menterinya, Jeneral Prayut Chan-o-Cha, berkata pentadbirannya akan memulakan dasar berkenaan tahun ini untuk tempoh dua dekad.

“Rancangan itu menyasar bagi mewujudkan ekonomi bijak yang berkesinambungan, dikenali sebagai Thailand 4.0,” katanya dalam ucaptama ketika merasmikan seminar Opportunity Thailand di Pusat Konvensyen IMPACT Muangthong, Thailand.

Prayut berkata, rangka kerja baharu itu akan menekankan pembangunan modal insan dan industri pemacu tempatan serta pada masa sama membuka peluang kepada pelabur asing dan pakar menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Kita tidak boleh hanya menumpu kepada ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada masyarakat supaya mereka dapat terus berkembang dan mempertingkatkan inovasi di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Somkid Jatusripitak berkata, walaupun berdepan suasana ekonomi dunia yang tidak menentu dan kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej Oktober tahun lalu, ekonomi negara masih dalam keadaan memuaskan.

“Ekonomi negara berkembang pada kadar 3.5 hingga empat peratus berbanding 3.2 peratus tahun lalu menurut anggaran Bank Dunia,” katanya.

Antara promosi pelaburan yang diperkenalkan termasuk pengecualian cukai pendapatan selama 15 tahun dan pengecualian cukai barangan import.

Thailand kini berada di tangga ke-43 daripada 190 negara yang disenaraikan organisasi global. Di Asia Tenggara, negara itu berada di tangga ketiga di belakang Singapura dan Malaysia.

(BHONLINE)

[4657043]

Facebook Comments