Pengundi jangan perjudi nasib


LUNDU 17 Feb. – Para pengundi diminta agar tidak memperjudikan masa depan dengan memilih dua calon pembangkang yang tidak berkemampuan untuk membela nasib rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu.

Menurut Pemangku Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, sokongan padu perlu diberikan kepada calon Barisan Nasional (BN), Puan Sri Jamilah Anu yang diyakini mampu meneruskan perancangan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atau Tok Nan yang disokong Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Katanya, Jamilah yang paling rapat dengan Tok Nan mengetahui perancangan, memahami dan mengenali masyarakat di Tanjong Datu.

“Saya tidak mahu kita (rakyat) terpedaya dengan mereka yang tahu akan kalah dan mungkin merayu agar diberikan satu undi agar tidak kehilangan wang deposit.

“Tapi jangan sesekali memberikannya kerana bagi kita siapa yang boleh membawa kemajuan dan kesejahteraan masyarakat di sini, hanya Jamilah,” katanya berucap dalam Program Sembang Santai dan Tinjauan Mesra di Kampung Stunggang, Semunin dan Dagang di sini, hari ini.

Terdahulu Awang Tengah bersama Pengerusi Tetap PBB, Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar; Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan merangkap Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong; Menteri Muda Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd. Naroden Majais dan Menteri Muda Pembangunan Industri (Pelaburan dan Promosi) negeri, Datuk Julaihi Narawi membonceng motosikal mengikuti konvoi ke kampung berkenaan.

Tambahnya, beliau mahu melihat peratusan mengundi yang tinggi daripada masyarakat di Tanjong Datu kepada BN.

“Semua jentera harus bergerak kerana esok hari penentuan.

“Kita mahu kemenangan dengan majoriti besar yang hanya dapat dicapai jika semua kita turun mengundi,” ujarnya.

Beliau memberitahu, undi bukan dihitung melalui suara atau pakaian biru tetapi kertas undi.

Sehubungan itu, Awang Tengah meminta khususnya jentera pemuda agar bekerja kuat lagi dalam membantu pengundi untuk turun membuang undi.

(Utusan Online)

[4656884]

Facebook Comments