Pas yakin Himpunan RUU 355 esok capai sasaran


KUALA LUMPUR 17 Feb. – Pas yakin Himpunan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) yang akan berlangsung esok di Padang Merbok mencapai objektif penganjurannya.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, objektif himpunan itu seperti yang telah diuar-uarkan sebelum ini adalah untuk memberi penjelasan mengenai keperluan pindaan akta itu dan mengapa mesti disokong, ter­utamanya ahli-ahli Parlimen.

“Kita yakin himpunan ini akan mendapat sokongan yang baik daripada semua golongan masyarakat.

“Pas juga berharap perhimpunan ini sekurang-kurangnya menjadi sebuah perhimpunan yang akan menjelaskan kepada semua kaum tentang peranan Akta 355,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhamad (KUIZM), Gombak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan; Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Nasruddin Hassan Tantawi.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, pihaknya juga telah menjemput Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR untuk menyertai himpunan itu esok.

“Kita berharap semua dapat hadir esok bagi menyatakan sokongan terhadap undang-undang Islam begitu juga yang bukan Islam

supaya mereka dapat memahami peranan undang-undang itu,” ujarnya.

Program itu dijangka bermula seawal 2.30 petang dan berakhir 11 malam dengan beberapa aktiviti seperti soal jawab agama oleh penceramah terkenal dan ucapan oleh wakil-wakil NGO yang hadir, wakil kerajaan dan oleh Abdul Hadi. – UTUSAN ONLINE

(Utusan Online)

[4656828]

Facebook Comments