H355 bukan sekadar berkumpul


TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Kolej Islam Universiti Zulkifli Muhammad dekat Taman Melewar, Kuala Lumpur, hari ini. – Foto Hafiz Sohaimi KUALA LUMPUR: Matlamat utama Himpunan Rang Undang-Undang 355 (H355) bukan sekadar berhimpun menyatakan sokongan terhadap usaha mendaulatkan undang-undang Islam.

Sebaliknya, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mahu himpunan itu sekurang-kurangnya berperanan sebagai medium berkesan memperjelaskan tujuan sebenar pemerkasaan undang-undang itu kepada pelbagai kaum.

“Ia sekali gus diyakini dapat mencapai matlamat himpunan dengan menyasarkan segenap masyarakat dan bukan tertumpu pada satu pihak sahaja,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Kolej Islam Universiti Zulkifli Muhammad dekat Taman Melewar, di sini, hari ini.

Mesyuarat lebih tiga jam itu dihadiri Naib Presiden PAS, Idris Ahmad; Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi.

Dalam pada itu, Takiyuddin mengesahkan pihaknya secara umum sudah menghantar surat jemputan kepada semua Ahli Parlimen tidak kira latar belakang politik.

Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan kehadiran mana-mana pemimpin sebaliknya berkata, terpulang kepada mereka untuk hadir.

“Penganjuran H355 tidak akan terhenti di Padang Merbok sahaja.

“PAS bercadang untuk menjelajah ke setiap negeri supaya masyarakat lebih memahami mengapa himpunan ini diadakan.

“Apabila undang-undang ini (RUU355) diluluskan kelak di peringkat Persekutuan, terpulang kepada negeri sama ada untuk menguatkuasakannya atau tidak,” katanya.

(BHONLINE)

[4656803]

Facebook Comments