Tunda umum SPM 2016 tak patut jadi isu


TIMBALAN Ketua Pengarah Pelajaran (Dasar dan Pembangunan Pelajaran), Datuk Seri Khairil Awang. – Foto Aswadi Alias KUALA LUMPUR: Tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) menunda tarikh pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 selama dua minggu kepada 16 Mac ini tidak wajar dipertikaikan mana-mana pihak.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Dasar dan Pembangunan Pelajaran), Datuk Seri Khairil Awang, berkata sebaliknya, semua pihak perlu menghargai usaha KPM menjaga integriti dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) berkaitan peperiksaan itu.

“Yang paling penting bagi saya bukan tarikh tetapi integriti keputusan yang akan dikeluarkan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung viral di media sosial mengenai perubahan tarikh pengumuman keputusan SPM 2016 berikutan kerosakan mesin pemprosesan pembaca tanda optik dan kekangan kewangan membaik pulih mesin berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan Lembaga Peperiksaan (LP) terpaksa menunda pengumuman analisis keputusan SPM 2016.

Berdasarkan surat pekeliling bertarikh 12 Februari yang ditandatangani Pengarah LP, Datin Nawal Salleh, pengumuman analisis keputusan SPM 2016 yang sepatutnya diadakan pada 2 Mac terpaksa ditunda kepada 16 Mac ini.

Dalam pada itu, Khairil berkata, KPM kemungkinan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menggunakan logo kementerian tanpa kebenaran pada buku cetakan mereka.

“Isunya ada sesetengah buku ditularkan, dikatakan Kementerian Pendidikan punya dan dikatakan ada kekurangan dalam buku teks itu. Tetapi apabila siasatan dibuat, ia bukan buku kita, tetapi cetakan pihak swasta,” katanya.

– BERNAMA

(BHONLINE)

[4656658]

Facebook Comments