Ongkili Gesa Penduduk Kadamaian Beri Kepercayaan Kepada PBS

KOTA BELUD, 16 Feb (Bernama) — Rakyat terutamanya di Kadamaian di sini, perlu meletakkan kepercayaan mereka terhadap Parti Bersatu Sabah (PBS) khususnya dalam perjuangan untuk mendapatkan hak-hak Sabah dan penduduknya.

“Kekal bersama PBS dan percaya kepada kami,” kata Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Bercakap pada sesi bertemu rakyat di Dewan Gopog di Taginambur di sini hari ini, Anggota Parlimen Kota Marudu itu menggesa rakyat supaya tidak terpedaya dengan pembohongan pembangkang.

“Itu janji-janji yang tidak munasabah. Ada individu-individu daripada pembangkang ini pernah memegang jawatan tinggi, daripada ketua menteri, timbalan ketua menteri dan menteri persekutuan, tetapi mereka tidak banyak membantu menyelesaikan masalah yang menjejaskan negeri dan rakyat.

“Mengapa mereka mengaku berjuang untuk hak-hak Sabah dan penduduk Sabah sekarang. Mengapa mereka tidak melakukan sesuatu apabila mempunyai peluang untuk membawa dan membuat perubahan.

“Hanya selepas keluar daripada Barisan Nasional (BN), mereka memutuskan untuk menyatakan kononnya perjuangan mereka itu, yang mana PBS dan BN telah berusaha keras ke arah itu sejak beberapa dekad lalu,” tegas Ongkili di hadapan 600 penyokong yang hadir pada majlis tersebut.

Pada majlis itu, Ongkili yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, menerima 916 permohonan keanggotaan baharu, iaitu tambahan kepada 2,574 anggota baru yang menyertai parti berkenaan dalam tempoh 18 bulan lepas.

— BERNAMA

(BERNAMA)

[4651867]

Facebook Comments