Jangan terlalu gembira pemimpin pembangkang keluar parti – Tajuddin


TAJUDDIN: Buktikan kepada rakyat bahawa BN merupakan sebuah parti yang berkhidmat untuk membangunkan rakyat. TELUK INTAN: Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengingatkan anggota parti itu serta Barisan Nasional (BN) agar tidak terlalu gembira dengan tindakan beberapa pemimpin pembangkang keluar parti.

Beliau berkata sekalipun tindakan pemimpin pembangkang terbabit dilihat sebagai bonus kepada UMNO dan BN, masih ada tugas penting yang harus diberi perhatian.

“Apa yang penting kuatkan parti dan buktikan kepada rakyat bahawa BN merupakan sebuah parti yang berkhidmat untuk membangunkan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia 2017 di Chenderong Balai di sini hari ini.

Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata bagi mengekalkan sokongan rakyat, BN selaku peneraju kerajaan harus memperhebat pembangunan untuk rakyat.

Mengulas tindakan empat pemimpin DAP Melaka yang bertindak keluar parti, beliau berkata keputusan mereka itu menunjukkan kepimpinan Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng, sudah tidak boleh diterima oleh sebahagian anggota DAP.

“Selama ini mungkin mereka memendam rasa dan akhirnya tidak boleh tahan lagi lalu mengambil keputusan keluar parti. Di sini sudah cukup menunjukkan bahawa DAP bukanlah hebat serta kuat malah menyangkal dakwaan bahawa mereka mendapat sambutan hebat,” katanya. — BERNAMA

(Astro Awani)

[4651753]

Facebook Comments