Peletakan Jawatan Anggota DAP Tunjuk Anggotanya Tidak Gembira Dengan Parti Itu – Presiden Gerakan

PUTRAJAYA, 16 Feb (Bernama) — Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong hari ini berkata tindakan empat wakil rakyat DAP Melaka meletak jawatan baru-baru ini menunjukkan banyak anggotanya tidak berpuas hati dengan perkembangan di dalam parti itu.

Beliau berkata seorang daripada mereka, anggota Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him yang berada di dalam parti itu sejak 43 tahun lalu mendakwa DAP telah berubah, menjadi angkuh dan tersasar daripada aspirasi politik mereka.

“Jadi, mungkin mereka berpendapat mereka tidak buat salah, apa yang dilakukan mereka, rakyat akan masih sokong mereka dan saya fikir mereka telah berubah dan menjadi angkuh,” katanya.

Mah, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata demikian selepas menghadiri sesi konsultansi “Langkah ke Hadapan bagi Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) di sini hari ini.

Selain Sim, tiga lagi yang keluar daripada DAP adalah anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bachang, Lim Jak Wong, Chin Choon Seong (Kesidang) dan Goh Leong San (Duyong).

— BERNAMA

(BERNAMA)

[4651259]

Facebook Comments