Jangan terlalu ghairah raikan perpecahan DAP


DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman. – Foto L.Manimaran. TELUK INTAN: Pemimpin dan ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) jangan terlalu ghairah meraikan tindakan beberapa wakil rakyat DAP di Melaka keluar daripada parti itu, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata, walaupun daripada pandangan mata kasar tindakan mereka boleh dianggap sebagai bonus kepada BN, meraikannya secara berlebihan sehingga melupakan tanggungjawab mengukuhkan parti perlu dihindarkan.

“Walaupun memang seronok melihat pihak lawan berpecah kerana ia memudahkan kerja kita tetapi harus beringat sikap terlalu seronok meraikannya adalah tindakan negatif yang tidak bijaksana dan perlu dielakkan.

“Apa yang perlu kita lakukan ialah memperkukuhkan kedudukan BN menjadi sebuah parti yang berkhidmat untuk membangunkan rakyat, bukan kuat kerana parti lawan lemah,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia 2017 di Chenderong Balai, dekat sini, hari ini.

Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kekuatan parti yang membawa kemajuan dan pembangunan kepada rakyat adalah strategi penting kepada BN dalam menghadapi pihak pembangkang untuk meraih sokongan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri dan seorang Ahli Parlimen DAP di Melaka keluar parti itu menunjukkan kepimpinan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sudah tidak dapat diterima oleh sebahagian ahli mereka.

Katanya, tindakan empat wakil rakyat itu kerana mereka sudah tidak tahan dengan permainan politik kotor pemimpin DAP.

“Jelas membuktikan DAP bukanlah parti yang hebat dan kuat sebaliknya sudah hilang keyakinan dalam kalangan ahlinya berpunca daripada sikap pemimpinnya yang tidak serius memperjuangkan masalah rakyat,” katanya.

(BHONLINE)

[4651010]

Facebook Comments