Jamilah Terkilan Tidak Dapat Berjumpa Pengundi

Oleh Robert Kenneth Anak Henry

LUNDU, 16 Feb (Bernama) — Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu melahirkan rasa terkilan dan memohon maaf kerana buat masa ini beliau tidak dapat berjumpa dengan para pengundi dan rakyat di kawasan itu.

Beliau berkata demi menghormati hukum agama dan kesopanan sebagai seorang wanita yang baru kematian suami, beliau tidak dapat hadir sendiri untuk bersama-sama berkempen dalam PRK ini.

Namun, katanya, setiap hari beliau mengikuti perkembangan semasa dan diberi maklumat tentang pelbagai perkara serta isu yang timbul.

“Insya-Allah, apabila keadaan membenarkan, saya akan turun padang melawat semua dan bekerja seperti yang diharapkan,” kata Jamilah dalam surat terbuka kepada pengundi di Tanjong Datu.

Katanya, beliau amat yakin semua warga kerja serta rakan-rakan seperjuangan dalam BN akan dan telah melakukan yang terbaik dalam tempoh berkempen ini.

Beliau merayu kepada semua pengundi, khususunya pengundi luar untuk turun mengundi Sabtu ini.

“Mandat serta kemenangan yang besar adalah juga sebagai tanda sokongan kita kepada kepimpinan baru Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang juga pengerusi BN Sarawak,” kata beliau.

Jamilah berkata atas rasa tanggungjawab dan demi kesejahteraan semua warga Tanjong Datu, beliau bersedia memikul amanah serta cabaran untuk meneruskan perjuanan arwah suami beliau Tan Sri Adenan Satem yang merupakan penyandang kerusi DUN Tanjong Datu.

“Walaupun masih dalam kesedihan, namun berbuku di hati saya keazaman kuat untuk meneruskan dan menyelesaikan banyak kerja yang telah dirancang oleh arwah suami saya untuk Tanjong Datu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau meminta supaya jangan dibandingkan ketokohan serta kepimpinan arwah suami beliau dengan dirinya.

“Tok Nan seorang suami, ayah dan pemimpin yang unik dan istimewa,” katanya.

Sebagai seorang wanita yang asalnya dari desa, isteri yang setia dan ibu, saya telah melalui pelbagai rintangan serta cabaran bersama Tok Nan, terutama sekali dalam memahami tugasan sebagai seorang wakil rakyat, menyelami denyut nadi masyarakat berbilang kaum dan warna-warni dunia politik,” kata beliau.

Jamilah turut mengucapkan ribuan terima kasih serta rasa amat terharu atas kunjungan semua pihak yang sanggup datang dari jauh menziarahi pusara arwah suami beliau serta ucapan takziah yan tidak putus-putus daripada pelbagai lapisan masyarakat terutama di kawasan DUN Tanjong Datu.

Pada PRK kali ini, Jamilah dicabar oleh calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) baru, Raphelson Richard Hamit dan calon Parti Reformasi Sarawak (Star) Johnny Aput.

— BERNAMA

(BERNAMA)

[4650993]

Facebook Comments