Tiada Ahli Parlimen, ADUN BN Terengganu sertai PPBM


DATUK Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengadakan lawatan ke Pengkalan Titian, Lembah Harapan dan menyampaikan bantuan kepada penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta mengadakan lawatan ke atas pesakit dan warga emas di Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini. – Foto Rozainah Zakaria KUALA NERUS: Badan Perhubungan UMNO Terengganu menafikan seorang Ahli Parlimen dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata provokasi dilakukan pemimpin parti pembangkang tidak melemahkan semangat empat ahli parlimen dan 17 ADUN BN negeri, sebaliknya akan terus menunaikan setiap tanggungjawab diamanahkan rakyat.

Katanya, pemimpin parti pembangkang cuba menutup isu perpecahan yang berlaku dalam kalangan kepimpinan termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang sebelum ini mengatakan seorang menteri kanan meletak jawatan.

“Bagaimanapun, beberapa hari selepas itu, empat pemimpin DAP Melaka mengumumkan meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN.

“Disebabkan terdesak dan cuba menutup isu itu, pemimpin pembangkang terutamanya PPBM memviralkannya di laman sosial dengan mendakwa seorang Ahli Parlimen serta empat ADUN BN Terengganu menyertai parti itu,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pengkalan Titian, Lembah Harapan dan menyampaikan bantuan kepada penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta mengadakan lawatan ke atas pesakit dan warga emas di Seberang Takir, di sini, hari ini.

Ahmad Razif yang juga Menteri Besar berkata, tiada seorangpun Ahli Parlimen dan ADUN BN di negeri ini meletak jawatan dan menyertai PPBM, walaupun terdapat bekas ahli serta pemimpin UMNO dilantik sebagai ketua bahagian parti itu.

(BHONLINE)

[4649068]

Facebook Comments