Pilihan Raya Jakarta Diadakan Dua Pusingan

JAKARTA, 16 Feb (Bernama) — Seperti yang diduga, Pilihan Raya Ketua Daerah (Pilkada) bagi Daerah Khusus Jakarta akan berlangsung secara dua pusingan ekoran tiada calon yang melepasi undi majoriti melebihi 50 peratus.

Para penganalisis politik dari awal menjangkakan Pilkada Jakarta akan berlangsung secara dua pusingan apabila berlaku pertandingan tiga penjuru.

Berdasarkan kepada Sistem Penghitungan Suara iaitu keputusan tidak rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) menunjukkan pasangan penyandang jawatan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok dan Djarot Saiful Hidayat mendahului pungutan undi dengan mendapat 44.17 peratus.

Tempat kedua diikuti oleh pasangan Anies Baswedan dan Sandiaga Salahuddin Uno dengan 39.55 peratus manakala pasangan Agus Harimurti Yudhoyono iaitu anak sulung bekas presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono terkeluar daripada pertandingan pusingan kedua apabila mendapat 16.27 peratus.

Sistem pilihan raya itu mengkehendaki seseorang calon wajib melepasi 50 peratus daripada jumlah undi keseluruhan untuk dilantik sebagai Gabenor Jakarta merangkap ketua eksekutif daerah.

Bagaimanapun, keputusan rasmi hanya akan diumumkan oleh KPU dalam tempoh dua minggu lagi.

Ahok dalam sidang mediannya telah menyampaikan ucapan terima kasih kepada para pengundi dan keputusan itu adalah sesuatu yang harus diduga.

Katanya, walaupun beliau mengharapkan satu pusingan sahaja, namun beliau sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Anies pula, dalam kenyataannya, berkata beliau akan berbincang dengan Agus untuk bekerjasama setelah calon termuda itu terkeluar dari gelanggang pertandingan pusingan kedua ekoran mendapat undi terendah.

Agus, dalam ucapannya, berkata beliau menerima kekalahannya dengan hati terbuka dan mengucapkan selamat maju kepada kedua-dua pasangan calon yang akan berentap pada pusingan kedua.

Pusingan kedua pilihan raya itu dijadual berlangsung pada awal April depan dan akan menyaksikan pertandingan secara satu lawan satu antara gandingan Ahok-Djarot dan Anies-Sandiago.

Sebanyak 41,802,538 rakyat Indonesia di tujuh buah wilayah dilaporkan keluar mengundi untuk memilih Ketua Eksekutif masing-masing menerusi Pilkada bagi tempoh lima tahun.

Pilkada serentak 2017 itu adalah sebagai usaha penyelarasan pilihan raya serentak seluruh Indonesia menjelang tahun 2020.

Pilihan raya itu adalah bagi memilih jawatan ketua eksekutif wilayah iaitu Gabenor dan Naib Gabenor bagi tujuh wilayah, Datuk Bandar atau disebut sebagai Wali Kota dan timbalannya bagi 18 kota, 101 Pegawai Daerah atau disebut sebagai Bupati.

Sebanyak 310 pasangan calon iaitu 241 calon dari parti-parti politik dan 69 calon bebas bertanding pada pilihan raya bagi merebut jawatan-jawatan itu.

Tujuh buah wilayah yang terlibat dalam Pilkada itu ialah Aceh, Bangka Belitung, DKI Jakarta, Banten, Gorontalo, Sulawesi Barat dan Papua Barat.

— BERNAMA

(BERNAMA)

[4647758]

Facebook Comments