Guan Eng tidak faham perbezaan aset, kerugian – Khairul Azwan


Khairul Azwan Harun. – Foto Supian Ahmad KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng masih tidak dapat menerima kenyataan syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mempunyai aset bernilai RM51 bilion.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun, berkata sebaliknya Guan Eng mendakwa syarikat itu mencatatkan kerugian sejumlah RM52 bilion, sekali gus menunjukkan beliau masih tidak faham perbezaan di antara aset dan kerugian.

“Sebagai peringatan kepada Guan Eng, modal permulaan untuk 1MDB hanya RM1 juta. Kini, syarikat itu mempunyai RM51 bilion nilai aset.

“Guan Eng boleh lantik Tony Pua (Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan) untuk mengajar beliau mengenai perbezaan antara aset dan kerugian, setelah dua tahun masih tidak faham mengenai isu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Khairul Azwan berkata Guan Eng sepatutnya memberi tumpuan kepada pendedahan bekas penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid mengenai kerugian bank pusat itu dalam urus niaga mata wang pada awal 1990-an.

Katanya, isu itu dilihat lebih serius berikutan ia membabitkan penutupan skandal Forex Bank Negara yang boleh mencecah hingga RM30 bilion.

“Apa yang membuatkan skandal ini lebih teruk adalah apabila orang ramai tidak dimaklumkan mengenai perkara itu, kemungkinan ada pihak menutup kes itu pada 1991.

“Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang saban tahun menggesa perkara ini disiasat turut bertindak berdiam diri apabila kini sudah bekerjasama dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

(BHONLINE)

[4646588]

Facebook Comments