Kemenangan BN Jelas Terbayang Di Tanjong Datu

Fokus Berita Oleh Robert Kenneth Anak Henry

LUNDU, (Bernama)– Menjelang dua hari sahaja lagi pengundian bagi pilihan raya kecil Tanjong Datu akan diadakan, pemerhati politik di sini berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) sudah terbayang dengan cukup jelas.

Dalam kempen sepanjang 10 hari lepas, pujian, penghargaan dan penghormatan tidak putus-putus diberi kepada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atas pelbagai kebaikan yang beliau lakukan sebagai anggota Dewan Undangan Negeri kawasan itu dan sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima.

Untuk menyemarakkan lagi kempen yang dijalankan, semalam, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dalam ucapannya di Kampung Limo, Sempadi, menyeru pemilih supaya memberi undi mereka kepada calon BN Datuk Amar Jamilah Anu, balu Adenan, bagi mempamerkan sokongan padu mereka kepada Ketua Menteri baharu, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Pengerusi jawatankuasa publisiti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Peter Minos berkata di samping mengenang Adenan sebagai pemimpin yang amat mereka sayang serta hormati dan telah banyak berjasa kepada Sarawak dan rakyatnya, mereka juga perlu menerima dan menghargai pemimpin baharu mereka itu.

Menurut beliau, memberi sokongan kepada ketua menteri itu dan berdiri teguh bersamanya ketika menentang pembangkang dalam saat-saat ini, merupakan perkara yang amat wajar dan tepat untuk mereka lakukan.

“Dalam menghadapi musuh politik mereka, orang BN perlu memberi tumpuan dan sokongan padu mereka kepada pemimpin dan perkara ini bukan sahaja penting untuk meneguhkan lagi semangat, tetapi juga amat diharapkan oleh semua anggota BN sebagai sesuatu yang boleh menyatukan mereka,” katanya kepada Bernama.

Minos berkata Ketua Menteri baharu, Abang Johari, patut diberi pujian kerana bekerja keras dan bersungguh-sungguh dalam pilihan raya kecil berkenaan, sejak hari penamaan calon, hinggalah pada hari pelancaran manifesto BN serta kesanggupan beliau untuk menjelajah ke segenap pelosok Tanjong Datu tanpa mengira masa.

“Dua petanda – menghormati serta menghargai Allahyarham Adenan dan mempamerkan sokongan kepada penggantinya, Abang Johari – merupakan perkara yang amat berkesan untuk memberi motivasi kepada orang BN tentang kenapa mereka perlu bekerja keras hingga ke hari mengundi Sabtu ini dan kenapa mereka perlu berusaha untuk membawa kemenangan besar untuk BN…jangan sekali-kali membenarkan sikap berpuas hati wujud dalam diri mereka.

“Sekiranya pada hari mengundi nanti, BN dapat mengalahkan kedua-dua penentangnya dengan teruk dan menyebabkan mereka hilang wang pertaruhan, maka hari itu akan merupakan suatu hari yang amat menggembirakan,” katanya.

ADUN Opar Datuk Ranum Mina, yang turut membantu dalam berkempen, berkata beliau tidak berasa ragu bahawa Jamilah akan memenangi pilihan raya kecil itu dan BN memang layak mengecap kemenangan berikutan segala usaha yang telah dilakukannya serta meletakkan calon yang kuat.

Ranum Mina berkata urusan kempen berjalan lancar dan beliau yakin pengundi Bidayuh Selako akan memberi sokongan penuh mereka kepada BN pada hari mengundi nanti.

Timbalan presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Cawangan Sarawak Jossem Daweg berkata anggota persatuan itu menyokong penuh calon BN dan kepimpinan Abang Johari.

Malah, kata beliau, Jamilah mampu meraih majoriti lebih besar berbanding 5,892 undi yang diperoleh Allahyarham suaminya pada pilihan raya negeri 2016.

“Kami juga percaya beliau mampu berkhidmat sebaik Allahyarham suaminya,” kata Jossem.

Bekas pelari pecut negara Watson Nyambek, yang turut berkempen sejak hujung minggu lepas pula berkata berdasarkan sokongan yang dipamerkan para pemilih, beliau yakin calon BN akan menang pilihan raya kecil berkenaan dengan majoriti besar.

Jamilah dicabar calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru Rapelson Richard Hamit dan calon Parti Reformasi Sarawak (Star) Johnny Aput dalam pertandingan tiga penjuru itu.

— BERNAMA

(BERNAMA)

[4646214]

Facebook Comments