Bayangan Tok Nan bawa kebaikan


SANTUBONG: “Tidak perlu saya keluar daripada bayangan Nan sekiranya ia membawa banyak kebaikan,” kata balu Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Puan Sri Jamilah Anu.

Mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, 18 Februari ini, Jamilah berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi ukuran, namun aspirasi besarnya membangunkan negeri dan rakyat.

“Mengapa perlu keluar dari bayang beliau kalau banyak kebaikan kita boleh perolehi untuk negeri dan rakyat, khususnya di Tanjong Datu.

“Saya akan berdiri teguh membawa namanya berkhidmat di kawasan, ….menyambung legasinya di sana. Menyelesaikan segala apa yang perlu diselesaikan,” katanya dalam temubual khas bersama BH di Damai Jaya, di sini.

Jamilah berkata, perancangan arwah suaminya cukup besar untuk kawasan itu, termasuk menjadikannya sebuah bandar satelit berasaskan hab pendidikan, eko-pelancongan dan industri asas tani, termasuk perikanan.

“Tok Nan mengimpikan seluruh kawasan Tanjong Datu dimajukan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat.

“Sebagai isteri, saya akan menunaikan impian itu, yang jelas memberi impak positif kepada rakyat di kawasan,” katanya.

Pada masa yang sama, Jamilah turut merangka perancangannya sendiri untuk pembangunan kawasan itu dengan dibantu ‘Tim Adenan’ di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg.

“Datuk Amar Abang Johari (Abang Openg) juga mahu meneruskan semua perancangan Tok Nan. Kita selesaikan dulu apa yang belum selesai…. satu demi satu.

“Saya bersama mereka (penduduk Tanjong Datu) sejak 2006….saya cukup memahami kehendak dan kemahuan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

(BHONLINE)

[4645655]

Facebook Comments