Calon Pembangkang Hanya Muncul Sekejap Pekan Lundu

LUNDU, 15 Feb (Bernama) — Hari ke-12 kempen pilihan raya kecil Tanjong Datu hari ini menyaksikan jentera Barisan Nasional (BN) memperhebatkan usaha memikat pengundi, namun yang sebaliknya berlaku bagi pihak lawan apabila sekadar membuat kemunculan sekejap di pekan Lundu.

Calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru Rafelson Richard Hamit dilihat membuat kunjungan ke premis-premis perniagaan sementara calon Parti Reformasi Negeri (Star) Johnny Aput pula bersama sekumpulan penyokong di sebuah kedai kopi selepas menyertai sidang media oleh Presiden parti Lina Soo di sebuah restoran makanan segera.

Pada sidang media itu, Lina mengakui mustahil untuk calon partinya menang pilihan raya kecil tersebut, namun mendakwa mereka berjaya memainkan peranan sebagai pembangkang apabila kerajaan mengumumkan projek bernilai RM1.5 bilion di kawasan berkenaan.

Sekalipun pemerhati politik berpandangan dua calon pembangkang itu akan mengalami kekalahan teruk, kedua-dua calon PBDS Baru dan Star yakin mereka tidak akan hilang wang deposit pilihan raya.

Merujuk kepada prestasinya pada pilihan raya negeri bagi kawasan Gedong tahun lalu, Rafelson berkata walaupun tewas, beliau berjaya mendapatkan semula depositnya.

Pada pilihan raya kecil ini, BN meletakkan harapan pada Datuk Amar Jamilah Anu untuk mempertahankan kerusi yang disandang arwah suaminya, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Hari pengundian ditetapkan pada 18 Feb ini melibatkan 9,959 pengundi.

Pada pilihan raya negeri tahun lepas, Adenan mempertahankan kerusi itu apabila meraih 6,360 undi berbanding calon lawan daripada Parti Keadilan Rakyat Zolkipli Numan yang hanya menerima 468 undi.

— BERNAMA

(BERNAMA)

[4645430]

Facebook Comments