BN Tiada Kaitan Tindakan Wakil Rakyat DAP Keluar Parti – KM Melaka

MELAKA, 15 Feb (Bernama) — Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan tindakan empat wakil rakyat DAP keluar parti pada Ahad lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Sebaliknya, beliau berkata tindakan empat wakil rakyat itu diambil atas prinsip yang dipegang mereka sendiri dan perasaan tidak puas hati mereka terhadap kepimpinan atasan parti tersebut.

“Kami (BN) tiada sebarang kaitan dengan tindakan empat wakil rakyat DAP itu. Mereka lakukan tindakan itu atas dasar prinsip, mereka ada prinsip sendiri.

“Tapi saya tahu banyak wakil rakyat DAP menyatakan rasa tidak puas hati tentang bagaimana (pucuk pimpinan) DAP layan mereka, apa yang berlaku ini hanya sebahagian kecil daripada masalah itu,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Idris mengulas mengenai gambar pertemuan beliau dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Goh Leong San dan ADUN Bachang Lim Jak Wong sebelum kedua-duanya keluar DAP, yang tular di media sosial dan blog, mendakwa terdapat pakatan dengan BN atas tindakan mereka keluar parti.

Selain Goh dan Lim, ADUN Kesidang Chin Choon Seong dan Anggota Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him turut keluar daripada DAP. Mereka kini merupakan wakil rakyat Bebas.

— BERNAMA

(BERNAMA)

[4645356]

Facebook Comments