Kerajaan Melaka tawar pentas dedah kepincangan DAP


Oleh Nurul Fhatihah Zakinan dan Amir Mamat

bhnews@bh.com.my

DATUK Seri Idris Haron mengadakan sidang media selepas mesyuarat exco di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. – Foto Rasul Azli Samad AYER KEROH: Kerajaan Melaka menawarkan empat bekas wakil rakyat DAP menggunakan pentas politik di negeri itu bagi menyampaikan ceramah mendedahkan pergolakan dalaman parti berkenaan kepada rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata kerajaan bersifat terbuka dalam menyarankan empat bekas pemimpin itu menggunakan platform disediakan bagi menyatakan kekesalan mereka terhadap parti yang didokong selama ini.

“Saya sudah berbincang di peringkat EXCO kerajaan negeri, bagaimana boleh mengambil peluang supaya empat wakil rakyat ini boleh membantu menjelaskan kepada rakyat betapa pincang parti yang mereka sokong selama ini.

“Justeru, kita sedia jadikan mereka sebagai penceramah menyampaikan kekesalan terhadap parti (DAP) itu, “katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Seri Negeri di sini, hari ini.

Ahad lalu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Goh Leong San (Duyong), Lim Jak Wong (Bachang) dan Chin Choong Seong (Kesidang) keluar parti susulan krisis dalaman yang membelenggu parti, selain kecewa dengan kepemimpinan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Idris yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri turut menafikan dakwaan tindakan empat pemimpin itu keluar parti berpunca daripada pertemuannya dengan dua daripada empat wakil rakyat berkenaan sebelum ini.

Sementara itu, Choong Seong ketika ditemui di pejabatnya di Kota Laksamana menafikan pernah berjumpa dengan Idris, sebelum membuat pengumuman keluar DAP.

“Ada pihak yang sengaja menggunakan gambar lama YB (Yang Berhormat) Leong San dan Jak Wong bersama Idris. (Sebenarnya) Itu perjumpaan tiga atau empat bulan lalu untuk berbincang mengenai masalah kecurian pasir di pesisir Selat Melaka, ” katanya.

(BHONLINE)

[4645305]

Facebook Comments