BN perkasa sosio-ekonomi Tanjong Datu

LUNDU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus memberi penumpuan kepada usaha memperkasakan sosio-ekonomi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu.

Ia termasuk mewujudkan sebuah tanah perindustrian yang baharu dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), sekali gus menyumbang kepada pembangunan setempat.

Ini secara tidak langsung menarik kedatangan lebih banyak pelabur, seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, seterusnya memangkin pertumbuhan ekonomi Tanjong Datu.

Inisiatif berkenaan antara aspirasi besar Allahyarham Tan Sri Adenan Satem membangunkan Tanjong Datu yang kini diteruskan balunya, Puan Sri Jamilah Anu sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata kewujudan taman perindustrian itu juga sebagai merangsang penduduk setempat menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

“Di Sarawak, saiz negeri kita cukup luas, lebih besar dari Semenanjung, dengan memiliki banyak kawasan pedalaman dan luar bandar. Justeru, kita mendapati cara paling baik untuk mengubah pola kehidupan penduduk di kawasan terbabit adalah melalui aktiviti keusahawanan.

“Kita memiliki banyak potensi ke arah itu, terutama dalam industri kecil dan sederhana (IKS). Ia antara komponen terpenting dalam mendokong usaha menjadikan Sarawak sebagai negeri maju berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemerkasaan Usahawan – Industri Makanan Daerah Lundu di Dewan Masyarakat Lundu, di sini sebentar tadi.

Awang Tengah ketika mengulas lanjut, berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memberi sumbangan yang cukup besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Hampir 97 peratus KDNK kita disumbangkan oleh PKS. Jadi, jangan rasa rendah diri sebab PKS seperti buat keropok, sos dan sebagainya adalah antara penyumbang utama ekonomi negeri serta negara.

“Sebab itulah, Tan Sri Adenan (Satem) atau Tok Nan sentiasa memberi keutamaan kepada usaha pengembangan PKS, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar melalui dasar ‘Go Rural’ yang diperkenalkan beliau,” katanya.

Malah, katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sentiasa meneroka pasaran baharu bagi produk dan perkhidmatan tempatan di peringkat antarabangsa.

“Kita perlu sedar pasaran domestik kita agar terhad dan untuk maju, kita perlu meneroka pasaran global yang lebih luas,” katanya.

Sementara itu, Awang Tengah berkata, segala dasar mesra komuniti perniagaan dan perdagangan diperkenalkan Adenan terus diperkukuhkan oleh kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg.

“Dasar Tok Nan turut menjadikan Sarawak antara destinasi pelaburan dan perdagangan utama di negara ini. Pada 2015, kita mencatatkan kemasukan nilai pelaburan mencecah RM11.8 bilion.

“Kita terus memperkukuhkan usaha itu melalui penganjuran pelbagai misi perdagangan di luar negara melalui kerjasama dengan MATRADE dan MIDA,” katanya.

(BHONLINE)

[4643218]

Facebook Comments