Guan Eng mahu laporan lengkap dakwaan Tunku Abdul Aziz


SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng (tengah) menghadiri perjumpaan dengan wakil pemimpin DAP Melaka di Ibu Pejabat DAP negeri, Lorong Pandan, Melaka. – Foto Rasul Azli Samad MELAKA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mahu mendapatkan laporan lengkap dari DAP Johor dan Selangor susulan kenyataan terbaru bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berhubung ura-ura dua lagi pemimpin kanan akan keluar daripada parti itu.

Berucap dalam program Dialog Bersama Pemimpin DAP Melaka malam ini, Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata beliau akan merujuk Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua serta Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong bagi mendapatkan bukti dakwaan Tunku Abdul Aziz itu.

Dalam nada angkuh, Guan Eng turut memperkecilkan pendedahan dibuat tokoh berkenaan, sekali gus cuba menutup kemelut dalaman DAP susulan tindakan empat wakil rakyat parti itu keluar parti, Ahad lalu.

“Kita ada lihat kenyataan dibuat ‘orang’ Barisan Nasional (BN). ‘Orang kanan’ BN, iaitu Tunku Abdul Aziz ada cakap dua lagi pemimpin kanan akan ikut ‘Geng Empat’. Satu dari Johor, satu dari Selangor.

“Dia dakwa pemimpin kanan (DAP). Malam ini ada Pengerusi DAP Johor, ada Pengerusi DAP Selangor, nanti saya akan minta mereka beri jawapan kepada saya selepas perjumpaan ini. Benar atau tidak, kita akan tunggu,” katanya.

Dalam suatu kenyataan hari ini, Tunku Abdul Aziz mendakwa dua lagi pemimpin kanan DAP dijangka bertindak keluar parti dalam masa terdekat. Beliau dilaporkan berkata, langkah itu akan dibuat tidak sampai 48 jam selepas empat pemimpin DAP Melaka berbuat demikian.

Terdahulu, program anjuran DAP Melaka itu dihadiri kira-kira 200 penyokong di ibu pejabat DAP negeri di Lorong Pandan, di sini. Yang hadir sama, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke; Pengerusi DAP negeri, Tey Kok Kiew dan Ketua Pembangkang negeri, Khoo Poay Tiong.

Kelmarin, BH melaporkan empat bekas pemimpin DAP Melaka mengumumkan keputusan keluar parti, sekali gus mengakibatkan parti itu berada dalam keadaan goyah.

Mereka yang mengumumkan keputusan keluar parti adalah Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him; serta ADUN Duyong, Goh Leong San; Lim Jak Wong (Bachang), dan Chin Choong Seong (Kesidang).

(BHONLINE)

[4640985]

Facebook Comments