Tun Mahathir Akui BN Akan Menang Pru Jika PAS Tidak Sertai Pakatan Harapan

PUTRAJAYA, 14 Feb (Bernama) — UMNO atau Barisan Nasional (BN) kemungkinan akan meraih kemenangan sekiranya PAS enggan menyertai Pakatan Harapan serta meletakkan calon dalam pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Penyokong parti lawan akan berbelah bagi dan ini bermakna PAS menolong UMNO atau BN mendapatkan kemenangan. Mana-mana parti, kalau jadi tiga penjuru, maka niat itu adalah untuk menyokong UMNO dan BN,” katanya.

Bekas perdana menteri itu berkata PPBM tidak akan merayu kepada pemimpin PAS untuk menyertai Pakatan Harapan walaupun tempoh sebulan diberikan untuk membuat keputusan itu.

“Kami telah cuba menyelesaikan kebuntuan ini dan kami bersabar… Saya tidak akan merangkak dan mencium kaki pemimpin PAS.

“Tetapi kami terbuka dan masih memberikan PAS masa sebulan walaupun mereka kata ini tidak perlu,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas menyerahkan watikah pelantikan ketua-ketua bahagian PPBM Semenanjung Malaysia di sini hari ini.

Pada 1 Feb lalu, Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di ibu negara bagi merintis jalan ke arah kerjasama antara kedua-dua parti.

Ditanya sekiranya PAS hanya mahu bekerjasama dengan PPBM dan bukan Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP, Dr Mahathir berkata:

“Bersatu tidak boleh melepaskan kerjasama dengan DAP, kerana parti itu ketika ini menguasai 36 kerusi di Dewan Rakyat, sementara PAS, bukan merupakan parti pembangkang terbesar, mempunyai kurang daripada 26 kerusi.”

— BERNAMA

(BERNAMA)

[4640872]

Facebook Comments