Satu Undi Untuk Jamilah Bermakna Satu Undi Untuk Adenan, Kata Rohani

LUNDU, 14 Feb (Bernama) — Pengundi berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu hari ini diberitahu satu undi untuk calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amar Jamilah Anu bermakna satu undi untuk Allahyarham Tan Sri Adenan Satem selaku penyandang.

Malah, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, pengundi tidak perlu membazirkan walau satu undipun untuk dua calon pembangkang.

“Saya tahu Allahyarham Adenan sangat popular dan amat dihargai di sini selain selaku ketua menteri kelima.

“Semua setuju bahawa banyak yang telah beliau lakukan untuk DUN ini namun masih banyak perancangan dan agenda beliau yang belum dilaksana.

“Justeru, jika anda mengundi balunya, Jamilah yang diberi kepercayaan untuk mempertahankan kerusi ini, anda mengundi untuk mereka yang ada agenda dan perancangan, dengan kata lain, legasi Adenan akan diteruskan,” katanya semasa melancarkan Kempen Keselamatan Kanak-Kanak peringkat negeri di sini.

Rohani berkata mereka tidak sepatutnya terpengaruh dengan kempen pembangkang bahawa mereka tidak perlu turun mengundi pada Sabtu ini kerana BN akan menang mudah.

“Ini berbahaya kerana apabila ramai yang tidak keluar mengundi, ini mungkin akan menjejaskan keputusan.

“Justeru, sekali lagi, keluarlah mengundi seawal mungkin kerana Jabatan Meteorologi menjangkakan Lundu dilanda hujan pada hari-hari terakhir menjelang pengundian,” katanya.

— BERNAMA

(BERNAMA)

[4640360]

Facebook Comments