Larian Toyo Tires


Aktiviti untuk kesihatan sentiasa mendapat sambutan apabila 360 peserta menyertai larian ‘Toyo Tires Putrajaya 100 Miles’ anjuran Toyo Tyre Sales and Marketing Malaysia (TSM), baru-baru ini.

Acara maraton itu selama dua hari mempertandingkan empat acara iaitu 52km, 78km, 100km dan 100 Miles meliputi kawasan Putrajaya dan Cyberjaya menerima penyertaan peserta dari Malaysia, Brunei, Singapura dan Jerman.

Larian dilepaskan di Taman Tasik Empangan Putrajaya oleh Pengarah Perlumbaan Zulkiflee Zainal daripada PACAT Adventure Team sebagai pengurus acara dengan lebih 500 peminat yang hadir terdiri daripada wakil TSM, rakan dan keluarga peserta.

Pengurus Kanan Penjenamaan TSM William Tan berkata, acara itu dianjurkan bagi mempromosikan gaya hidup sihat melalui sukan dan memilih aktiviti larian sebagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

“Sambutan diterima terhadap acara ini sangat menggalakkan dan kami berterima kasih kepada semua yang terbabit dan bakal menganjurkannya lagi pada masa hadapan,” katanya.

Pemenang acara 100 Miles ialah Jeff Ooi Joo Wan dari Taiping dengan catatan masa 25 jam dan 11 minit, tempat kedua oleh Yim Heng Fatt (27 jam 15 minit) dan ketiga Fedoh Ompiduk (27 jam 20 minit).

(myMetro)

[4628217]

Facebook Comments