Gaya premium Eropah






Menampilkan elemen premium, prestasi dan gaya menjadi tarikan utama kenderaan utiliti sukan (SUV) Audi Q3 yang diberi sentuhan peningkatan bagi pasaran tempatan.

Generasi pertama mula diperkenalkan di pasaran Malaysia pada 2012 dan versi peningkatan dilancarkan pada Oktober 2015, Q3 antara model yang popular di kebanyakan pasaran dunia.

Dikuasakan dengan enjin 2.0 TFSI Quattro, ia menyerlahkan ciri kejuruteraan Jerman yang ditawarkan buat mereka yang aktif dan gemarkan sebuah kenderaan yang responsif di pelbagai permukaan jalan.

Penulis yang berpeluang memandu uji baru-baru ini untuk kegunaan harian mendapati, ia sesuai digunakan untuk pelbagai tujuan dan kelebihan ruang dalaman sebuah SUV.

Bersaiz kompak crossover, ia mengekalkan dimensi yang sama dengan model terdahulu dengan panjang 4.39 meter, 1.83 meter lebar, 1.59 meter tinggi dengan jarak roda 2.6 meter.

Perubahan paling ketara ialah gril Singleframe dipertingkatkan mendominasi rekaan hadapan dengan ciri keaslian rekaan Audi Q3 serta bahagian belakang berkonsepkan sebuah coupe tampil lebih sporty.

Bampar hadapan dan belakang dengan elemen S line serta pada beberapa bahagian alas pintu aluminium serta roda lima jejari selari bersaiz 18 inci, jelas menonjolkan imejnya untuk lebih kelihatan elegan.

Lampu Nyalaan Siang (DRL) direka semula dengan ciri standard Xenon ditambah dengan teknologi LED bagi lebih jelas dilihat pada siang dan malam.

Menikmati ruang dalaman sebuah Audi bukan sekadar keselesaan malah pelbagai ciri mewah seperti kerusi daripada lapisan Alacantara dan kulit serta roda stereng tiga jejari dengan pedal penginjak untuk kawalan lebih kemas ketika pemanduan.

Untuk hiburan, ia dilengkapi dengan radio MMI dan paparan skrin bersaiz 6.5 inci TFT berwarna serta sistem penguat bunyi enam saluran dengan 10 pembesar suara membolehkan anda menikmati lagu pilihan dengan kualiti bunyi bertaraf tinggi.

Selain itu, ia juga mempunyai butang mula dan henti bagi menghidupkan enjin serta bahagian kargo yang bersaiz 460 liter boleh diubah sehingga menjadi 1,365 liter dengan menjatuhkan kerusi belakang untuk lebih fleksibel.

Untuk pemanduan dengan enjin 2.0 TFSI Quattro serta transmisi tujuh kelajuan S tronic bukan sahaja lancar malah bertenaga dengan janaan kuasa 180 kuasa kuda pada 4,000 hingga 6,200rpm dan tork sehingga 320Nm pada 1,400 dan 3,900rpm.

Ditambah pula dengan teknologi pacuan semua roda kekal Quattro mampu mencapai dari 0 hingga 100km/j dalam tempoh 7.6 saat dan mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 6.7 liter memberikan keseimbangan untuk prestasi serta petrol yang efisien.

Ciri keselamatan tersedia seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Kawalan Penarikan (ASR), Penyaluran Kuasa Brek Elektronik (EBD), Kunci Perbezaan Elektronik (EDL) dan Sistem Brek-Anti Kunci (ABS) dengan enam beg udara bagi perlindungan semua penumpang.

Secara keseluruhan Q3 adalah varian tertinggi untuk model kemasukan segmen SUV jenama Audi dengan pilihan opsyen pakej S line pada tambahan harga RM13,000 bagi memberikan ia imej lebih sporty.

Untuk pemanduan ia sangat responsif serta selesa dengan kawalan pemanduan yang baik terutama memintas kenderaan atau melalui selekoh dan permukaan tidak rata.

Ruang dalaman bercirikan premium, selesa dan praktikal dengan pelbagai makumat teknikal mengenai kenderaan boleh dilihat pada bahagian meter untuk perjalanan anda serta keupayaannya melalui laluan lasak sesuai buat mereka yang meminati aktiviti rekreasi.

Untuk pasaran Malaysia dua varian ditawarkan iaitu 1.4 TFSI pada harga RM218,900 dan 2.0 TFSI quattro pada harga RM254,900 dengan lima warna pilihan iaitu putih, perak, biru, coklat dan hitam bersama waranti empat tahun atau 120,000km yang mana lebih dahulu.

(myMetro)

[4628220]

Facebook Comments