Mforce pengedar baru Benelli


Jenama motosikal dengan teknologi dari Itali selama lebih 100 tahun, Benelli kini mempunyai pengedar baru untuk pasaran Malaysia berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Mforce Bike Holdings Sdn Bhd (Mforce Bike) dilantik memasang, mengedar dan membekalkan perkhidmatan selepas jualan termasuk alat ganti bagi produk Benelli di negara ini. Sebelum ini, motosikal itu dipasarkan oleh Benelli Keeway Motorcycles Sdn Bhd.

Pengurus Jualan Nasionalnya Asri Ahmad berkata, pemilik sedia ada akan terus menikmati faedah dan servis tambahan yang diberi sebelum ini dan Pusat Servis Mforce akan menyediakan perkhidmatan kepada pengguna Benelli bermula Mac depan.

“Selain itu, kami akan menambah variasi dan pilihan motosikal kepada pengguna serta merancang membawa masuk beberapa model baru seperti Leoncino 500, 302R, TRK 502 dan sebagainya yang kini dalam perbincangan akhir,” katanya.

Mforce Bike juga bakal memperkenalkan motosikal moped Benelli dengan enjin 150cc dilengkapi kotak gear 6 kelajuan dan sistem sejukan cecair yang memenuhi piawaian ‘Euro Standard’ sekitar April nanti.

Selain Benelli, syarikat yang ditubuhkan pada 2008 itu juga pengedar eksklusif untuk motosikal jenama SYM dari Taiwan, dikenali kerana pengalaman dalam industri pemasangan motosikal dan khidmat selepas jualan terbaik ditawarkan kepada pengguna di negara ini.

(myMetro)

[4628213]

Facebook Comments