Himpunan pemilik swift



Satu ketika dahulu, Suzuki Swift antara kenderaan kompak kegilaan anak muda tempatan berikutan bentuknya yang berbeza dan ranggi berbanding segmen sama daripada jenama lain.

Fenomena ini mulai suram beberapa tahun kemudian apabila pesaing Suzuki mula mencipta dan mengeluarkan barisan jentera baru yang lebih bersifat global dan terkini.

Namun, perkembangan itu tidak pernah melemahkan semangat peminat Swift apabila kelab kereta yang ditubuhkan mendapat sokongan padu pemilik model berkenaan.

Bertempat di parkir awam Genting Highlands, Pahang, baru-baru ini, kira-kira 200 pemilik Swift dari seluruh negara serta Singapura berkumpul bagi menjayakan program Swifter Day Out 2K17 (SDO2K17).

Penganjur program, Zuhairi Isa berkata, pihaknya bersama beberapa kelab kereta Swift tempatan lain bersetuju mengadakan perjumpaan mega untuk menghimpunkan pemilik model berkenaan.

“Tidak sangka program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pemilik Swift termasuk dari Singapura.

“Acara ini lebih bertujuan mengeratkan silaturahim dan bersifat santai apabila semua pemilik dapat bersua muka dan bertukar pendapat,” katanya.

Katanya, program sehari bermula jam 11 pagi hingga 6 petang diisi dengan pelbagai acara antaranya kereta terbaik, cabutan bertuah, kuiz dan sebagainya.

“Program ini mendapat sokongan daripada pelbagai kelab Swift seluruh negara antaranya Swift Club Malaysia, The Bad Swifter, Klswifter, Swift Kajang Club, Southern Swifter, Silver Swifter, Malaysia Swift Squad, Swift Terengganu Club, XS9, Swift Samurai, Melaka Swifter Community dan sebagainya.

“Namun, beberapa pemilik Swift di negeri pantai timur seperti Kelantan tidak dapat hadir berikutan banjir,” katanya.

Zuhairi berkata, walaupun cuaca sejuk kerana hujan, program berjalan lancar dan meriah.

“Tidak mustahil program seumpama ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang sama ada untuk tujuan rekreasi, menambah kenalan dan berkongsi pengetahuan mengenai kereta.

“Secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara pemilik swift tempatan dan di Singapura,” katanya.

(myMetro)

[4628212]

Facebook Comments