Benelli TNT25 hadiah hari jadi


Peraduan Selfie Bersama Speed & Wheels (S&W), anjuran majalah digital interaktif S&W kini sampai ke penghujung dan menyaksikan seramai empat individu menerima hadiah masing-masing dalam satu majlis pada 25 Januari lalu.

Hadiah disampaikan Pengurus Projek Penerbitan Digital yang juga Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar di Theatrette, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Bangsar.

Turut hadir Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan Komunikasi dan Hubungan Luar Benelli Keeway Motorcycles Sdn Bhd Wan Najib Wan Daud dan Eksekutif Pemasaran Kanan Givi Asia Sdn Bhd, Edwin Jacob.

Hadiah utama motosikal Benelli TNT25 bernilai RM14,000 dimenangi Siti Nooraini Tuhalus, manakala helmet Givi bernilai RM850 menjadi milik Rosismer Roslan, Abdul Ammar Mod Rusdi dan Mohd Firdaus Abdullah.

Siti Nooraini berkata, hadiah itu cukup istimewa kerana bersempena hari lahirnya ke-32 pada Disember lalu.

“Saya dimaklumkan mengenai hadiah ini pada 1 Disember lalu, sehari sebelum hari lahir saya. Ini hadiah paling besar pernah saya peroleh sepanjang hidup,” katanya.

Ibu kepada tiga anak ini berkata, banyak peraduan lain sudah disertainya sebelum ini tetapi tidak bernasib baik.

Peraduan anjuran S&W bermula pada Julai hingga Oktober tahun lalu dan menarik lebih 500 penyertaan. Aplikasi S&W boleh dimuat turun secara percuma di telefon pintar atau tablet melalui platform App Store dan Play Store.

(myMetro)

[4628215]

Facebook Comments