Derita ‘hamil’ selama 10 tahun



MARIA Christofi mengambil keputusan untuk menaiki kereta api sahaja ke sebuah pusat beli-belah. Ketika dia sedang mencari tempat duduk di dalam kereta api tersebut, seorang gadis mula bangun dan memberikan tempat duduknya kepada Christofi.

Christofi, 42, melemparkan senyuman kepada gadis tersebut sambil mengucapkan terima kasih.

Dia kelihatan malu kerana gadis tersebut mungkin menyangka Christofi hamil apabila melihat perutnya yang besar walhal ia sebenanarnya adalah sejenis ketumbuhan.

Memetik laporan Mail Online, Christofi menghidap satu ketumbuhan tidak berbahaya di bahagian perutnya.

Ketumbuhan seberat 2.7 kilogram itu menyebabkan dia kelihatan seolah-olah sedang hamil tujuh bulan.

Menurut wanita yang berasal dari London, England itu, dia mula-mula mengesan ketumbuhan pelik di dalam perutnya pada tahun 2007.

“Waktu itu, ketumbuhan tersebut kecil sahaja dan saya mengambil keputusan untuk tidak membuangnya mela­lui kaedah pembedahan,” ujarnya.

Semakin membesar

Doktor mengesahkan Christofi menghidap sejenis ketumbuhan tidak berbahaya yang juga dikenali sebagai benign fibroid.

Ketumbuhan tersebut boleh berlaku pada mana-mana bahagian tubuh dan dianggap tidak berbahaya kerana sel-selnya tidak akan merebak ke bahagian tubuh yang lain.

Begitu pun, saiznya yang besar boleh mengganggu aktiviti harian seseorang.

Menurut Christofi, ketumbuhan tersebut tidak menimbulkan rasa sakit dan oleh sebab itu dia mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja ia berada di dalam perutnya.

Wanita itu hanya mengambil ubat-ubatan berasaskan herba dengan harapan ketumbuhan itu akan hilang dengan sendirinya.

Namun, semakin lama, Christofi mula menjadi risau apabila mendapati ketumbuhan tersebut membesar sehingga dia kelihatan seolah-olah sedang hamil.

“Saiznya yang besar menyebabkan rakan-rakan menyangka saya hamil dan mula bertanya bilakah saya akan melahirkan bayi yang dikandung.

Rasa gembira

“Saya mula mereka-reka cerita dan memberitahu mereka bahawa saya sememangnya sedang hamil kerana saya tidak mahu memberitahu mereka perkara sebenar,” ujar Christofi.

Begitu pun, wanita itu akhirnya mengambil keputusan untuk membuang ketumbuhan itu apabila ia sudah terlalu besar pada tahun lalu.

“Saya sama sekali tidak menyedari ia sudah menjadi begitu besar.

“Waktu itu, ia sudah seberat 2.7 kilogram, manakala panjangnya pula adalah sekitar 17 sentimeter,” ujar Christofi.

Dia menjalani pembedahan di Hospital Parkside, Wimbledon, London dan gembira kerana selepas 10 tahun, tubuhnya terasa ringan dan kembali normal.

“Saya menyesal kerana tidak membuang ketumbuhan itu 10 tahun lalu kerana waktu itu, saya yakin dengan mengambil ubat-ubatan sahaja, ketumbuhan itu boleh hilang dengan sendirinya.

“Saya juga pernah menjalani rawatan laser sebanyak tiga kali untuk mengecilkan saiz ketumbuhan itu, namun ia langsung tidak berkesan,” jelas Christofi.

Kini, selepas bebas daripada ketumbuhan itu, Christofi mengakui dia mahu merasa pengalaman mengandung yang sebenar.

“Kini, saya teruja untuk memulakan hidup baharu selepas bebas daripada ketumbuhan,” jelasnya.

(Kosmo)

[4628019]

Facebook Comments